Kajian kebolehlaksanaan Projek Jambatan Ketiga Pulau Pinang, Kementerian diminta beri kelulusan dasar – Exco

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Kementerian Kerja Raya diminta memberikan kelulusan dasar kepada Projek Jambatan Ketiga Pulau Pinang sebelum kajian kebolehlaksanaan terhadap projek berkenaan diteruskan, gesa Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng.

Gesaan tersebut adalah sebagai respons kepada kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof bertarikh 9 Oktober lalu yang menyatakan bahawa pihaknya belum menerima laporan kajian Projek Terowong Dasar Laut berkaitan daripada pihak Kerajaan
Negeri.

Hock Seng berkata, kajian kebolehlaksanaan bagi Projek Terowong Dasar Laut yang dimulakan pada Februari 2015 telah mencapai kemajuan 92.9 peratus setakat ini.

“Sememangnya, apa yang kita sedang lakukan kajian kini adalah untuk terowong.

“Tetapi, sekiranya pihak Kementerian dapat memberikan kelulusan secara dasar untuk membina jambatan (ketiga), maka sebahagian daripada kajian ini, iaitu data dan maklumat yang diperoleh boleh diguna pakai bagi membuat kajian (kebolehlaksanaan) jambatan.

“Apa yang kita tidak mahu adalah kajian (jambatan ketiga) ini menjadi sia-sia sahaja dan ditolak oleh pihak Kementerian kerana ia melibatkan kos berjuta-juta ringgit kelak.

“Maka, sekiranya mereka (Kementerian Kerja Raya) boleh berikan satu keputusan dasar, maka Kerajaan Negeri akan buat kajian kebolehlaksanaan untuk jambatan ketiga sekiranya diberikan peluang,” jelasnya pada sidang media yang diadakan di sini pada 11 Oktober lalu bersama-sama pihak pemaju dilantik, Konsortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (Zenith).

Hadir sama, Ketua Jurutera bagi Special Purpose Vehicle (SPV) Kerajaan Negeri, Dato’ Ir. Ang Aing Thye; Pengerusi Zenith, Tan Sri Azmi Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutif Kanan Zenith, Datuk Zarul Ahmad Zulkifli.

Dalam pada itu, Zarul menyatakan bahawa pihak Zenith kini menumpukan segala sumber dalam melaksanakan projek jalan-jalan utama iaitu Lebuhraya Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan Laluan Berkembar Persisiran Pantai Utara (North Coast Paired Road) yang menghubungkan Tanjung Bunga ke Teluk Bahang.

“Untuk projek jalan-jalan utama tersebut, kami (Zenith) masih menunggu kelulusan EIA (Jadual Kedua) daripada pihak Jabatan Alam Sekitar.

“Setelah dua projek tersebut dimulakan, barulah Zenith akan tumpukan perhatian untuk menyiapkan kajian kebolehlaksanaan Projek Terowong Dasar laut tersebut,” ujarnya.

Malah, beliau turut menyangkal dakwaan bahawa pihak Kerajaan Negeri telah membuat bayaran untuk kajian projek terowong.

“Tiada bayaran dibuat oleh pihak Kerajaan Negeri untuk projek terowong kerana kajian kebolehlaksanaan untuk projek tersebut masih belum siap.

“Projek terowong ini dijangka hanya akan mula dilaksanakan pada tahun 2023, dan siap empat tahun kemudiannya…maka pihak Zenith merasakan perkara ini tidak begitu penting untuk disiapkan lagi kerana kita tidak mahu bazirkan tenaga dan sumber terhadap kajian tersebut yang belum diluluskan.

“Yang lebih penting kini ialah kelulusan EIA untuk menumpukan kepada pembinaan dua jalan berkenaan,” kata Zarul.