Pengunjung naik 8.4%, KM desak Pusat segerakan projek memperbesar PIA

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sekali lagi mendesak Kerajaan Pusat supaya memperbesar lagi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), yang ketika ini terus menerima lambakan pengunjung.

Katanya, PIA dalam tempoh bulan Januari hingga Ogos tahun ini menerima 4,658,772 pengunjung dengan meningkat kira-kira 8.4 peratus, berbanding 4,297,289 orang dalam tempoh sama pada tahun 2016.

“Lambakan pengunjung begitu mendadak…sedangkan kapasiti di lapangan terbang ini (PIA) adalah 6.5 juta orang sahaja.

“PIA bukanlah di bawah Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang, tapi di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Kita harap kerja-kerja pembesaran lapangan terbanyak ini disegerakan supaya terus menjadi lapangan terbang antarabangsa, bukan pasar malam disebabkan lambakan pengunjung yang kian sesak di sini,” tegasnya dalam sidang media bersama-sama Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang di sini 26 September lepas.

Direkodkan, jumlah pengunjung ke PIA pada bulan Januari tahun ini adalah seramai 565,368 orang, diikuti Februari (537,296),
Mac (598,059), April (585,109), Mei (576,480), Jun (587,917), Julai (619,761) dan Ogos (588,782).

“Purata pengunjung dalam sebulan adalah kira-kira 582,346 orang, dengan bulan Julai mencatatkan bilangan pengunjung paling tinggi seramai 619,761 orang,” jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Dalam perkembangan berkaitan, peningkatan pengunjung melalui PIA menunjukkan Pulau Pinang terus menjadi antara destinasi pelancongan pilihan negara sehingga kini.