Sumbangan Deepavali babit semua kaum cermin keharmonian rakyat Malaysia sebenar – KM

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN DALAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memuji Jawatankuasa Perkhidmatan Dato’ Seri R. Arunasalam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menganjurkan Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Hari Deepavali Ke-38, membabitkan
penerima daripada pelbagai kaum.

Katanya, penganjuran majlis seumpama itu mencerminkan wajah keharmonian rakyat Malaysia yang sebenar, sungguhpun Deepavali adalah perayaan bagi penganut agama Hindu.

“Terima kasih kepada Datuk Seri R. Arunasalam, selama 38 tahun berturut-turut menganjurkan program kebajikan ini.

“Sumbangan ini bukan terhad kepada satu kaum sahaja apabila kita dapat lihat ada kaum India, ada kaum Melayu dan ada kaum Cina dipilih menerima sumbangan.

“Inilah keunikan Pulau Pinang, keharmonian kaum sebagai wajah sebenar rakyat Malaysia, dan yang lebih penting adalah semangat Kita Sayang Pulau Pinang,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan di Dewan Sree Mariamman, Butterworth di sini 8 Oktober lalu.

Menurut Guan Eng, penganjuran majlis sumbangan berkaitan adalah senada dengan impian Kerajaan Negeri hari ini yang mahu menjadikan Pulau Pinang sebagai ‘negeri berkebajikan’.

Turut berucap, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan turut memeriahkan majlis penyampaian sumbangan bantuan kepada golongan terpilih berkaitan.

Hadir sama, Datuk R. Arunasalam dan Presiden Persatuan Pemenang Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd. Yussof Latiff.

Turut serta, wakil beberapa pihak penganjur atau penaja program tersebut, antaranya Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Pos Malaysia Berhad, Angkatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia Seberang Perai Tengah (SPT), Pejabat Kesihatan Daerah SPT, Jabatan RELA Daerah SPT, Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri (JPJ), Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Sunquick Malaysia dan
Red Bull Malaysia.

Sebelum itu, jurucakap penganjur merakamkan penghargaan kepada para penaja yang menyertai Jawatankuasa Perkhidmatan Dato’
Seri R.A..

“Kita berasa gembira kerana lebih banyak lagi NGO (badan bukan kerajaan) di bawah pentadbiran Guan Eng tampil menyertai
jawatankuasa tersebut, memberikan bantuan atas semangat kasih sayang kepada golongan terpilih tanpa mengira kaum,” jelas wakil kepada Arunasalem.

Lebih 500 golongan terpilih daripada pelbagai kaum menerima sumbangan bantuan berupa sekampit beras serta barang-barang kelengkapan memasak lain, sempena perayaan Hari Deepavali tahun ini.