Kasthuriraani gesa Putrajaya peka masalah ibu tunggal

Admin

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

BUKIT TENGAH – Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani menggesa Putrajaya supaya mengkaji semula bantuan kebajikan kepada ibu tunggal negara ini ekoran kos sara hidup yang semakin meningkat kini.

Menurutnya, walaupun terdapat pelbagai jenis bantuan diberikan, namun jumlah bantuan yang diterima ibu tunggal pada hari ini adalah tidak munasabah dengan kos hidup sekarang.

“Saya akan membawa isu-isu berkaitan dengan kaum ibu dan ibu tunggal ke Parlimen yang akan bersidang tidak lama lagi.

“Saya berharap Kerajaan Pusat sentiasa peka dengan masalah rakyat, terutamanya golongan ibu tunggal dan tidak mendiskriminasikan mana-mana negeri dalam memberikan bantuan,” katanya ketika ditemui semasa mengedarkan bunga sempena sambutan Hari Ibu Sedunia di Bukit Tengah di sini baru-baru ini.

Kasthuriraani memberitahu, sebanyak 1,500 kuntum mawar merah diedarkan kepada kaum ibu di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen beliau sebagai pengiktirafan kepada golongan itu dalam membangunkan negeri ini.

“Walaupun program ini tidaklah seberapa, tetapi sekurang-kurangnya kaum ibu di sini dapat merasakan diri mereka dihargai sekaligus lebih bersemangat menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Kaum ibu pada masa sekarang sentiasa menjadi tulang belakang kepada keluarga, komuniti dan juga negeri, sekaligus pengorbanan mereka patut diangkat dan dihargai,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar kaum ibu turut sama aktif dalam penubuhan Briged Wanita bagi merebut peluang dan manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

“Saya harap kita sama-sama bergerak di bawah Briged Wanita supaya dapat menonjolkan kemampuan golongan wanita dalam membangunkan Pulau Pinang,” jelas Kasthuriraani