Kasthuriraani rai semua kaum sempena Deepavali dipuji

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TAMBUN –  Inisiatif Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani menyampaikan sumbangan kepada 150 golongan terpilih daripada pelbagai bangsa sempena sambutan Deepavali peringkat Parlimen tersebut baru- baru ini menerima pujian banyak pihak.

Penerima, Zarina Abu Bakar, 40, melahirkan rasa syukur kepada Tuhan serta penghargaan kepada Kasthuriraani atas sumbangan barang-barang keperluan rumah yang diterimanya.

“Ini kali pertama saya terima sumbangan. Alhamdulillah. Terima kasih kepada Y.B. (Kasthuriraani) kerana beri sumbangan tak kira siapa,” ujar ibu tunggal kepada lapan anak dari Kampung Valdor itu di sini baru-baru ini.

Nada sama turut disuarakan Ong Meng Kiat, 40-an, yang menyatakan bahawa sumbangan itu sangat diperlukan keluarganya memandangkan beliau sendiri masih tiada pekerjaan tetap belakangan ini.

“Anak kerja kecil-kecil(an) dan beri duit (saku) pun kecil-kecilan kerana saya tiada pekerjaan tetap. “Saya tiada kerja tetap lagi. Sumbangan ini dapat kurangkan beban keluarga saya satu dua bulan ini,” ujar beliau yang juga penduduk Taman Kasawari di sini.

N. Krishnamah, 62, pula melahirkan rasa terharu kerana keadaan anak istimewanya, M. Thenmoli, 32, turut tersenarai sebagai penerima sumbangan sempena Deepavali tahun ini.

“Saya ada anak cacat akal OKU (orang kurang upaya). Tiap-tiap tahun, saya dapat RM100 (sumbangan emas OKU).

“Malam ini, anak saya dapat sumbangan lagi dari Ahli Parlimen di sini. Sebagai ibu, saya harap Tuhan tolong sama dia (Kasthuriraani),” ujar warga emas itu yang kini tinggal di Jalan Nenas dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tengah.

Krishnamah turut memuji Kasthuriraani kerana cakna dengan isu-isu kewanitaan di sekitar kawasan Parlimen Batu Kawan.

“Kerajaan Negeri ada Briged Wanita (Pulau Pinang), saya tahu. Apapun isu wanita (yang) dibawa ke pejabat Y.B., dia akan buat follow up (tindakan susulan),” ujarnya lagi.

Sebelum itu, Kasthuriraani berkata, sepatutnya semua pihak tanpa mengira warna kulit dan status sosial yang layak wajar diraikan di negeri ini.

“Semua kaum sama ada Melayu, India atau Cina ada pada malam ini, sebagai penerima sumbangan kerana mereka layak.

“Kita mahu jadikan semua keraian di negara ini bawa semangat Malaysia yang hakiki, tanpa perlu prejudis pada mana- mana kaum.

“Yang mampu, membantu. Yang kurang mampu, dibantu seperti yang disaksikan pada malam ini,” ujar beliau di sini.