KM lawat mangsa banjir Pmtg. Tok Subuh

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

TELUK AIR TAWAR – Perbicaraan kes penduduk Kampung Permatang Tok Subuh diarah mengosongkan kediaman masing-masing oleh tuan tanah akan disebut sekali lagi di Mahkamah Majistret Butterworth pada 25 November depan.

Ketetapan itu dibuat Pendaftar Mahkamah Majistret, Tuan Faiz Dziyauddin selepas proses sebutan kes oleh pihak pendakwaan dan pembelaan dilakukan.

Tetuan Fadzil, Chua dan Song mewakili pihak pendakwaan, manakala, pihak pembelaan diwakili Ho Leng Hong dari firma Tetuan Lim, Ho & Co.

“Mahkamah (Majistret) beri arahan kepada peguam plaintif supaya penghakiman ingkar pembelaan tidak boleh dimasukkan sehinggalah saya mengfailkan notis permohonan dengan menggabungkan semua kes, seterusnya, saya fail pembelaan.

“Itu adalah satu permintaan saya kepada mahkamah tadi,” ujar Leng Hong yang juga Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di perkarangan Mahkamah Majistret dan Sesyen Butterworth dekat sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon, Hamidah Che Embi (Pengerusi Badan Bertindak Selamatkan Penduduk Kampung Permatang Tok Subuh), Zolkifly Md. Lazim (Pengerusi
Badan Bertindak Tuntut Rumah Ganti Rumah Selesa, RAGAS) dan Jap Somat (Ketua Cabang PKR Bukit Mertajam) turut serta pada sidang media di sini.

Difahamkan, lapan penduduk berwajib masing-masing menerima saman daripada wakil tuan tanah dan satu saman dibatalkan selepas salah seorang penduduk tersebut bersetuju untuk menerima pampasan RM14,500 daripada tuan tanah serta pemaju.

Leng Hong berkata, pihaknya akan menggabungkan ketujuh-tujuh kes tersebut menjadi satu kes demi memudahkan proses permohonan berwajib kelak.

“Semasa permohonan pembelaan nanti, saya hanya perlu mengfailkan satu pembelaan sahaja, bukan tujuh pembelaan,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam) dan Jusni Ismail (Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah) baru-baru ini melawat mangsa bencana banjir di Kampung Permatang Tok Subuh dekat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machang Bubuk.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon turut mengadakan lawatan berasingan sebelum itu.

Guan Eng dilaporkan berkata, Kerajaan Negeri melalui MPSP tidak akan meluluskan sebarang permohonan pelan perancangan pembangunan di Kampung Permatang Tok Subuh sekiranya merugikan
kepentingan penduduk asal di situ.

Beliau dalam pada itu turut meminta semua penduduk berwajib, khususnya yang disaman oleh pemaju supaya saling memberi kerjasama dengan dua wakil rakyat Pakatan Rakyat, iaitu Khai Loon dan Chee Keong.

“Penduduk jangan risau, biar dua Y.B. ini (Khai Loon dan Chee Keong) yang risau (berusaha menyelesaikan isu Kampung Permatang Tok Subuh),” seloroh Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.