Rumah terbuka amalan tradisi DUN Seberang Jaya

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG JAYA – Sempena sambutan Deepavali baru-baru ini, seramai 110 golongan kurang bernasib baik, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas menerima hamper sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya di sini.

Antara barangan asas yang disumbangkan adalah sekampit beras, bihun dan gula yang sedikit sebanyak dipercayai dapat digunakan sebagai persediaan sambutan perayaan berkenaan.

ADUNnya, Dr. Afif Bahardin berkata, sumbangan makanan asas tersebut adalah bagi membolehkan golongan kurang bernasib baik terbabit turut menyambut suasana perayaan dengan ceria.

“Ini merupakan hadiah buat keluarga sempena Deepavali,’’ katanya di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Afif yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Luar Bandar dan Kesihatan menyatakan bahawa program rumah terbuka Dewan Undangan (DUN) beliau yang diadakan di Taman Tun Hussein Onn baru- baru ini merupakan amalan tradisi yang diadakan khas untuk penduduk Seberang Jaya.