Kawasan istirahat berhampiran Pasar Awam Batu Lancang siap dinaik taraf dengan kos RM135,400

BATU LANCANG – Sebidang tanah terbiar berhampiran Pasar Awam Batu Lancang di sini siap dinaik taraf dengan kos keseluruhan berjumlah RM135,400.

 

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Ong Ah Teong memberitahu bahawa kos tersebut merupakan hasil sumbangan bersama di antara Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer.

 

“Atas usaha MBPP dan MP Jelutong, kawasan ini siap dinaik taraf sebagai kawasan istirahat sepertimana permintaan orang ramai terutamanya pengunjung-pengunjung pasar awam.

 

“Kebiasaannya isteri akan masuk ke pasar dan beli belah, jadi suami dan anak-anak tiada tempat menunggu yang khusus jadi mereka memohon untuk mewujudkan kawasan istirahat dan riadah di sini,” ujarnya sambil menyangah dakwaan sesetengah pihak bahawa tanah tersebut merupakan kawasan lot parkir sebelum dinaik taraf.

 

Hadir sama, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Rayer dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

 

Antara skop projek naik taraf termasuklah kerusi dan meja rehat, buaian, naik taraf permukaan parkir dan laluan pejalan kaki serta tanaman pokok-pokok hiasan.

 

Dalam perkembangan berasingan, Ah Teong turut memaklumkan bahawa, kerja-kerja menaik taraf parkir bertingkat di pasar berkenaan sedang berjalan dan dijangka akan siap dalam tempoh dua tahun lagi.

 

 

Di kesempatan tersebut sempena perayaan Tahun Baru Cina, Ah Teong, Siew Khim dan Rayer meluangkan masa mengagihkan limau  kepada para peniaga dan pengunjung pasar berkenaan.

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI