Program MBSP Mesra Pelanggan, 9 Februari ini

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bakal menganjurkan program hari mesra pelanggan pada 9 Februari ini.

Program bertemakan ‘#Anda Perlu Kami Bantu’ itu dijadualkan bermula pada jam 10.00 pagi hingga 3.00 petang bertempat di Ruang Legar Pasaraya Besar Sunshine dekat Kepala Batas.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, program berkenaan merupakan medium bagi membantu penduduk Seberang Perai menjalankan perniagaan sebagai sumber pendapatan.

Katanya, melalui cara tersebut ekonomi setempat dapat dipacu serta pendapatan dalam kalangan penduduk akan menjadi lebih seimbang.

“Program ini adalah kesinambungan daripada Program MBSP Mesra Pelanggan yang diadakan sejak 2018.

“Malah, kita berhasrat untuk mengadakan program ini setiap tiga bulan sekali pada tahun ini yang mana pasukan khas daripada pelbagai jabatan akan ditubuhkan dengan memberi fokus kepada isu binaan tanpa kebenaran, pelesenan, tempat letak kereta, pembayaran cukai taksiran dan lain-lain lagi,” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis MBSP dekat Ruang Legar Menara Bandaraya, di sini pagi tadi.

Turut serta, Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod serta Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP.

Justeru, Rozali berharap agar semua pelanggan hadir ke program berkenaan memandangkan MBSP menawarkan kelulusan dan lesen perniagaan secara serta-merta berbanding tempoh 14 hari pada proses biasa.

“Sekiranya penduduk menghadapi masalah untuk mendapatkan kelulusan pelan bangunan, pelan bagi menjalankan perniagaan yang tidak berisiko serta kelulusan menjalankan pengilangan sila hadir kerana kita akan bantu.

“Paling kurang mereka akan memperoleh lesen paling kurang lesen bertempoh pada hari yang sama,” ujarnya lagi.

Difahamkan, program ini menyasarkan kumpulan perniagaan seperti berikut:

1. Peniaga-peniaga yang menjalankan perniagaan kategori tidak berisiko terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40).

2. Pemilik kediaman yang telah dan akan menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian rumah kediaman di kawasan taman perumahan.

3. Penduduk yang ingin membina rumah banglo atau sesebuah di kawasan Seberang Perai.

4. Penerima-penerima kompaun MBSP.

5. Penduduk dan pembayar cukai taksiran MBSP.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : Gambar : MUHAMAD RIADZ AKMAL RUSDANI