Kayuhan Mesra Pantai, program murni serampang dua mata

BERSIH PANTAI & KAYUHAN AMAL… Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon memuji komitmen syarikat perkilangan Agilent Technologies (Agilent) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya yang melaksanakan inisiatif membersihkan kawasan pantai berhampiran astaka Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu baru-baru ini.

Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak berkata, inisiatif tersebut sememangnya suatu usaha murni bagi menjaga kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.

Serentak itu, turut diadakan Kayuhan Mesra Pantai anjuran Pusat Khidmat ADUN Pantai Jerejak bermula dari SPICE hingga ke Kompleks Sukan Batu Uban.

“Kayuhan tersebut mendapat sambutan daripada kira-kira 200 peserta.

“Kayuhan ini juga adalah serentak dengan sambutan Hari Sukan Negara yang disambut di seluruh negara dalam membudayakan sukan dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujar beliau pada penganjuran berkaitan.

Dalam pada itu, Mohd. Rashid dan peserta kayuhan turut singgah di Pangsapuri Bayu Nyaman, Bayan Lepas bagi menyampaikan dua bantuan kerusi roda kepada warga emas di kawasan berkenaan.