NIBONG TEBAL – Seramai 87 peratus graduan Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) bagi tahun 2025 berjaya mendapat pekerjaan, sekali gus mencerminkan usaha institusi di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan pasaran semasa.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, berdasarkan hasil kaji selidik yang dijalankan, tiga peratus lagi graduan bekerja di luar bidang pengajian, manakala baki 10 peratus melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, pencapaian itu selari dengan komitmen kerajaan dalam meletakkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemacu utama melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, berdaya cipta dan kalis masa hadapan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
“Sebagaimana ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW dan Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kerajaan menyasarkan 70 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyertai bidang TVET menjelang akhir RMKe-13.
“Aspirasi ini turut disokong dengan peruntukan RM7.9 bilion bagi memperkukuh TVET sebagai laluan pendidikan dan kerjaya pilihan utama yang berpotensi menawarkan pendapatan tinggi,” ujarnya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Konvokesyen PERDA-TECH Kali Ke-15 Tahun 2026 di Dewan Utama PERDA-TECH, di sini hari ini.
Pengurus Besar PERDA, Dato’ Mohd Asri Baharum @ Harun dan barisan peneraju institusi pendidikan yang lain turut sertai acara konvensyen tersebut.
Majlis tersebut menyaksikan seramai 369 graduan diraikan dengan penganugerahan sijil dan diploma masing-masing.
Mengulas lanjut mengenai pencapaian institusi itu, Rubiah memaklumkan bahawa Program Diploma Teknologi Automotif PERDA-TECH berjaya meraih pengiktirafan lima bintang menerusi penilaian verifikasi Malaysia TVET Rating 2026 buat julung kalinya.
Katanya, pengiktirafan tersebut, selain perjalanan 39 tahun PERDA-TECH sejak penubuhannya sebagai Pusat Latihan PERDA pada 1987, membuktikan keupayaan institusi itu dalam memperluas akses pendidikan TVET berkualiti kepada belia luar bandar.
“Usaha tersebut bukan sahaja memberi tumpuan kepada penghasilan tenaga kerja mahir, malah turut membentuk teknousahawan TVET yang berupaya mencipta peluang pekerjaan serta memacu pertumbuhan ekonomi desa.
“Kecemerlangan ini turut terserlah dalam bidang inovasi dan penyelidikan pada peringkat kebangsaan serta antarabangsa sepanjang 2026 apabila warga PERDA-TECH berjaya meraih 16 pingat emas, 11 pingat perak, lapan pingat gangsa, satu Anugerah Platinum serta pelbagai anugerah khas.
“Antara pencapaian utama termasuklah meraih empat pingat emas, lima pingat perak dan enam pingat gangsa di i-CompEx 2026, Best Practical Innovation Award menerusi Projek Light Dependent Safety di ICTE2026 serta Anugerah Terbaik VIICER 2026 bagi inovasi pertanian pintar AG-ENVITECH.
“Kecemerlangan ini turut diperkukuh menerusi pembentangan penyelidikan di Persidangan Antarabangsa i-COME 2026, sekali gus membuktikan bahawa inovasi PERDA-TECH bukan sekadar bersifat teori, malah menawarkan penyelesaian praktikal kepada industri dan masyarakat,” jelasnya.
Tambah beliau, penyertaan aktif dalam Ekspo TVET@KKDW 2026 serta penganjuran RYNOTECH 2026 dan Fashionista Runway Competition (FYR26) terus memperkukuh peranan PERDA-TECH sebagai institusi latihan kemahiran di Wilayah Utara.
Pada majlis sama, beliau turut merasmikan dua fasiliti latihan baharu yang berteraskan keperluan industri sebenar, iaitu PERDA-TECH Underwater Welding Training Center hasil kerjasama strategik dengan Divestuff Sdn. Bhd., serta Bengkel Latihan Wrapping PERDA-TECH dengan kerjasama Vinyl Frog Malaysia.
Selain itu, jaringan kerjasama industri PERDA-TECH terus diperluas menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan dua pemain industri, iaitu Advansia Sdn. Bhd. dan GOTT Sdn. Bhd., bagi memastikan silibus latihan kekal relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa. Usaha ini menyusuli kolaborasi sedia ada bersama Perodua Sales Sdn. Bhd. menerusi Bengkel DOJO.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada PERDA Ventures Incorporated Sdn. Bhd. (PVISB) atas sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM100,000 bagi tahun 2026 untuk memperkukuh ekosistem inovasi, penyelidikan dan budaya reka cipta di PERDA-TECH.
Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB