Kejohanan Paintball MPPP ke-2 lebih meriah

Admin

PADANG KOTA – 20 pasukan, termasuk dari Medan, Indonesia menyertai Kejohanan Paintball Terbuka Pulau Pinang 2013 Kali Ke-2 anjuran Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada 28 dan 29 September lepas.

Yang di-Pertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail berkata, pihaknya berharap, penganjuran di peringkat pulau itu akan mempopularkan lagi status Pulau Pinang sebagai hub pelancongan sukan.

“Kejohanan pertama seperti ini kita (MPPP) telah anjurkan pada Febuari lalu di Padang Polo dan pada ketika itu hanya mendapat sambutan dari 14 pasukan dan mendapat pujian pemain sebagai kejohanan terbaik di Malaysia.

“Namun, pada kali ini, kita (MPPP) telah mendapat penyertaan sebanyak 20 pasukan dari seluruh Malaysia dan untuk maklumat semua, kita juga menerima satu pasukan dari Medan, Indonesia,” ujar beliau pada majlis perasmian di sini baru-baru ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja hadiah kejohanan berupa barangan paintball dan hamper.

Penaja-penaja itu antaranya, Creativision D.C Sdn. Bhd., Redbull Malaysia, Emico Marketing Sdn. Bhd., BIV Multimedia Sdn. Bhd., Regal Marketing & Trading Sdn.Bhd., Raviraj Sdn. Bhd., Maestro Swiss Trading Sdn. Bhd., OFV Paintball Shop dan Big Boy’s Kitchen.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan yang menjuarai kejohanan tersebut dengan membawa pulang wang tunai RM6,500, medal serta sijil penyertaan.

“Tanpa usaha dan kesungguhan semua pihak, kejohanan ini tidak mungkin menjadi kenyataan dan MPPP turut menghargai usaha semua dalam memartabatkan lagi sukan dan pelancongan negeri Pulau Pinang,” jelas beliau lagi.