Rawatan Islam ada prospek cerah di P. Pinang

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

SEBERANG JAYA – Perubatan Islam perlu dipromosikan dengan lebih meluas supaya ia (perubatan alternatif) turut meningkatkan keyakinan masyarakat di negeri ini, kata Ahli Lembaga Pengarah bagi Zakat Pulau Pinang (ZPP), Ustazah Rahmah Md. Isa di sini baru-baru ini.

Malah, katanya, perubatan alternatif berkenaan turut mempunyai prospek cerah memandangkan industri pelancongan perubatan di Pulau Pinang cukup kukuh belakangan ini.

“Rawatan ikut kaedah Rasulullah SAW ini bukan sahaja beri manfaat kepada ummah, malah, boleh membangunkan sektor pelancongan dakwah kesihatan di negeri ini, di samping industri pelancongan perubatan yang sedia ada,” ujarnya pada Majlis Perasmian Program Kesihatan & Rawatan Islam di dewan kuliah Masjid Jamek Seberang Jaya di sini.

Rahmah berucap demikian semasa mewakili Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) merangkap Ahli Lembaga Pengarah ZPP, Datuk Mohd. Salleh Man pada kolokium tersebut.

Memetik data Penang Health Association (PHA), difahamkan, jumlah pendapatan sektor pelancongan perubatan bagi tahun 2013 meningkat 18.03 peratus menjadi RM371 juta, berbanding RM314 juta pada tahun sebelumnya.

Angka itu menunjukkan sektor pelancongan perubatan Pulau Pinang menyumbang kira-kira 60 peratus pada sektor perubatan negara.

Sebelum itu, Penolong Pengurus Besar ZPP, Mohd. Khairi Ghazali mengesyorkan program khusus kepada golongan wanita dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) Kami Prihatin dengan kerjasama Pusat Rawatan & Perubatan Islam (PUSRAPI) itu turut membabitkan golongan asnaf terpilih.

“Saya berharap program seumpama ini turut membabitkan golongan asnaf terpilih,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Pakar Perubatan Islam PUSRAPI, Ustazah Azlina Zubir pula menyampai penerangan berhubung keistimewaan rawatan Islam serta beberapa demonstrasi perubatan berwajib.