KLANG, SELANGOR — Skuad Muay Thai Pulau Pinang menutup tirai Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 Selangor dengan pencapaian membanggakan apabila berjaya membawa pulang keseluruhan satu pingat emas, dua perak dan dua gangsa.
Meskipun begitu, kelebihan beraksi di laman sendiri yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan tuan rumah seakan-akan menyekat impian kontinjen negeri untuk melengkapkan sasaran dua pingat emas yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).


Pingat emas tunggal Pulau Pinang dihadiahkan menerusi aksi cemerlang Muhammad Amirul Hakim Shairil Rizal dalam kategori 71 kilogram (kg).
Amirul Hakim tampil dominan dengan mengungguli ketiga-tiga set saingan dan mengumpul 40 mata, sekali gus menewaskan wakil Terengganu, Muhammad Ibad Zainul Asri, yang sekadar memperoleh 17 mata.

Bagaimanapun, hasrat mengutip emas kedua tersekat apabila petarung kategori 60kg negeri, Muhammad Hakimi Nordin, akur di tempat kedua selepas tewas kepada bintang Selangor, Putra Abdullah Mahmoud.
Muhammad Hakimi yang mengumpul 19 mata sepanjang tiga set pertarungan membawa pulang pingat perak.

Duka Pulau Pinang berterusan dalam kategori 63.5kg apabila Muhammad Faris Aiman Salimi turut menyumbang pingat perak selepas tewas 0-4 di tangan seorang lagi wakil Selangor, Arish Shaddah Ubaidillah @ Nasri.
Koleksi pingat kontinjen Pulau Pinang turut dilengkapkan dengan dua pingat gangsa menerusi Mohamad Afiq Amsyar Shairil Rizal dalam kategori 51kg lelaki dan Nur Farhana Alia Nazri bagi kategori 48kg wanita.

Ketua Jurulatih Muay Thai Pulau Pinang, Ahmad Basri Mohd. Bukhari, menjelaskan bahawa pasukannya secara teknikal berkeupayaan merealisasikan sasaran emas kedua, namun sorakan serta kelebihan beraksi di tempat sendiri seakan-akan memberi semangat juang luar biasa kepada atlet Selangor.
Menurutnya, Muhammad Hakimi sedikit terganggu dan hilang fokus terhadap taktikal yang dirancang sejak awal apabila berdepan keyakinan tinggi Putra Abdullah.

Meskipun tersasar daripada sasaran asal, Ahmad Basri tetap meluahkan rasa bangga dan bersyukur atas daya juang anak buahnya.
Beliau turut memuji ketahanan Muhammad Hakimi yang mampu bertahan sehingga tamat tiga pusingan pertarungan akhir, berbanding atlet negeri lain yang kebanyakannya tewas secara tewas tumbang (knockout atau K.O.) di tangan petarung tuan rumah tersebut.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MIKAIL ONG