Pantau kawasan cenderung banjir, PPK saran baiki sistem saliran air

BERTAM – Keadaan cuaca tidak menentu selama beberapa hari menyebabkan beberapa buah kediaman di Kampung Setol dekat sini dinaiki air.

“Hujan tidak berhenti selama dua hari menyebabkan kawasan sekitar Kampung Setol dinaiki air.

“Kira-kira 20 buah rumah ditenggelami air sehingga paras betis,” jelas Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Bertam, Asrol Sani Abdul Razak yang turut turun padang meninjau keadaan banjir di sini baru-baru ini.

Rentetan itu, arahan serta-merta dikeluarkan untuk mendalamkan parit kawasan sekitar dan kerja-kerja pembinaan parit serta sistem saliran yang lebih teratur akan dilaksanakan kelak.

“ Kita akan memperbaiki sistem peparitan dan saliran terutama di kawasan yang cenderung banjir dengan kerjasama JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), JKR (Jabatan Kerja Raya), MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai) dan JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti) setempat.

“Sedaya upaya kita akan membantu dan terus memantau kawasan sekeliling termasuk pemantauan sistem peparitan supaya kejadian banjir ini tidak berulang acapkali musim hujan,” jelas Asrol ketika ditemui baru-baru ini.