Kembalikan undi ke-3 P. Pinang

PENGKALAN KOTAKerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang meneruskan usaha bagi membolehkan pilihanraya kerajaan tempatan diadakan di negeri berkenaan.

Terbaru adalah inisiatif Kerajaan Negeri mendirikan papan iklan berhadapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bagi memberi penjelasan lebih lanjut kepada rakyat negeri ini berhubung hak masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik berkata, enakmen untuk mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan iaitu memilih ahli majlis bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah diluluskan Kerajaan Negeri, tetapi malangnya kerajaan pusat ‘menghalang’ usaha tersebut.

“Pada tahun 1951, George Town merupakan bandaraya pertama mengadakan pilihanraya ahli majlis, justeru, tiada sebab ia tidak dapat dilakukan pada tahun 2012,’’ ujarnya pada sesi sidang media khas di tapak papan iklan di sini baru-baru ini.

Turut hadir, ahli-ahli majlis MPPP yang turut memberi sokongan terhadap inisiatif berkenaan.

Jelas Wei Aik, pada tahun 2009, papan tanda bermesejkan ‘Anti ISA’ yang dipasang di lokasi sama berjaya mencapai\ matlamatnya apabila akta tersebut dimansuhkan kerajaan pusat.

“Walaupun ia (papan iklan) pernah dirosakkan pihak-pihak tertentu, namun, kami berjaya dengan ‘kempen’ tersebut,’’ tegas beliau.

Dalam pada itu, Ahli Majlis MPPP, Havinder Singh menyatakan bahawa beliau sedia hadapi ‘pilihanraya’ terbabit sekiranya ia diadakan.

“Ini saya ibaratkan seperti ‘imbangan duga’ sebagai ahli majlis dalam menjalankan tugas diperuntukan. Undian rakyat dapat menentukan sama ada kami berada pada prestasi terbaik ataupun sebaliknya,’’ jelasnya.

NG Wei Aik (kiri sekali), Havinder Singh (tiga dari kanan) bersama-sama Ahli-ahli Majlis MPPP menunjukkan sokongan di papan iklan berhubung inisiatif Kerajaan Negeri mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan di sini baru-baru ini.
NG Wei Aik (kiri sekali), Havinder Singh (tiga dari kanan) bersama-sama Ahli-ahli Majlis MPPP menunjukkan sokongan di papan iklan berhubung inisiatif Kerajaan Negeri mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan di sini baru-baru ini.