Kempen hari pertama Kon Yeow di Parlimen Batu Kawan berjalan lancar

BUKIT TAMBUN – Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan perjalanan hari pertama kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) beliau di sekitar Parlimen Batu Kawan sangat lancar dan teratur.

Beliau yang merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, sambutan masyarakat setempat terhadap kunjungan beliau di beberapa lokasi dalam kawasan Parlimen tersebut juga dilihat amat menggalakkan.

“Saya mendapati sambutan masyarakat adalah amat menggalakkan… ada yang berasa hairan dan ada juga yang sudah dapat menjangkakan kehadiran saya di sini.

 

 

 

Chow Kon Yeow ketika mengadakan jerayawara ke beberapa kawasan di Parlimen Batu Kawan hari ini.

“Namun, apa yang penting adalah mesej yang ingin kita sampaikan bahawa PRU15 ini merupakan peluang keemasan untuk kita meneruskan perkara-perkara yang tidak sempat dilakukan dalam tempoh pemerintahan 22 bulan.

“Ada banyak yang boleh dibuktikan oleh Pakatan Harapan (PH) sekiranya mandat penuh dapat kita peroleh pada PRU kali ini.

“(Dan) sambutan yang baik diterima di sini akan memberikan galakan kepada kita untuk terus berusaha lebih lagi,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan program jerayawara ke Pasar Malam Taman Bakap Indah di sini sebentar tadi.

Seusai menghantar borang penamaan calon di Dewan Kolej Vokasional Seberang Perai pagi tadi, Kon Yeow tanpa membuang masa terus memulakan kempen melalui beberapa program jerayawara ke sekitar Parlimen Batu Kawan.

Program dimulakan dengan kunjungan ke kedai kopi di Parkampungan Valdor pada jam 2 petang untuk beramah mesra dengan masyarakat setempat, dan seterusnya mengadakan perjumpaan dengan Pertubuhan Rumah Ibadat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada jam 3.30 petang.

Selepas itu, Kon Yeow menemui para peniaga sekitar lot komersial di Taman Bakap Permai pada jam 4.30 petang sebelum mengakhiri program jerayawara tersebut dengan menyantuni peniaga di pasar malam Taman Bakap Indah pada jam 5 petang.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye dan ADUN Bukit Tambun, Gooh Choon Aik serta para jentera PH yang lengkap berpakaian serba merah yang tertera slogan kempen “Kita Boleh!”