Kempen tolak Immunisasi Bayi di internet perlu cakna Pusat

Admin

GEORGE TOWNKementerian Kesihatan perlu menangani kempen menolak Program Immunisasi Bayi Kebangsaan yang dikesan kian meledak dalam laman sosial seperti Facebook dan blog belakangan ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, langkah itu penting demi kelangsungan program pencegahan sakit berjangkit dalam negara.

Beliau bagaimanapun berkata, anasir menolak program immunisasi bayi itu masih tidak dikesan berlaku di Pulau Pinang.

“Alasan penolakan antaranya keraguan pada kandungan vaksin, status halal vaksin serta jaminan tidak berlaku kesan sampingan pada penerima vaksin,” ujar beliau di Komtar di sini.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari turut hadir pada sidang media itu.

Justeru, Dr. Afif berkata, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam (Menteri Kesihatan) sepatutnya cakna dengan perkembangan anasir itu dalam internet.

“Sekurang-kurangnya (Kementerian Kesihatan) beri penerangan mengenai pri penting tidak menolak program (immunisasi) ini,” ujar Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Bercakap pada sidang media sama, Zairil menasihat semua pihak supaya menyaring terlebih dahulu lambakan informasi di media sosial sebelum membuat keputusan untuk menolak program immunisasi yang hakikatnya baik untuk anak-anak mereka.

Ini kerana, katanya, Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Kali Ke-24 pada 5 dan 6 Jun 1989 nyata mengharuskan pengambilan vaksin demi mencegah penyakit berjangkit seperti campak, tibi, batuk kokol, dipteria, tetanus dan polio.

Fatwa itu diwartakan berbunyi, “vaksin-vaksin yang digunakan dalam imunisasi bagi penyakitpenyakit tersebut hendaklah diambil daripada bahan yang suci, sekiranya vaksin daripada bahan yang suci tidak diperoleh atau sukar diperoleh, maka penggunaan vaksin sedia ada adalah diharuskan.”

Difahamkan, lebih 95 peratus bayi kelahiran negara telahpun menerima immunisasi saban tahun. Impaknya, Malaysia mencatat rekod setaraf dengan United Kingdom, iaitu hanya 3 bayi daripada 1,000 kelahiran mati akibat penyakit-penyakit berjangkit.