Pusat turun harga kereta palsu – KM

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Akhbar perdana, Utusan Malaysia (Utusan) didakwa menyiarkan laporan palsu mengenai harga kereta import turun dijanji dalam manifesto Barisan Nasional (BN) terus dipertikai.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pembuat kereta Volkswagen dan Peugeot telahpun menafikan turun harga kenderaan masing-masing tahun ini.

“Semoga BN yang diterajui Kerajaan (Pusat) lebih serius dalam mengambil tindakan (ke atas laporan Utusan itu),” ujarnya pada sidang media di Komtar di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon, Prof. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) turut hadir.

Terdahulu, Utusan Malaysia pada 10 Jun lepas menyiarkan laporan penurunan harga 10 kereta dalam pasaran domestic sehingga 11 peratus sejak awal tahun ini, iaitu Volkswagen, Peugeot, Honda dan Marques serta kereta tempatan, Proton dan Perodua.

Itu, menurut laporan wartawan Fairus Kassim, sekaligus membuktikan Kerajaan Pusat berjaya merealisasikan manifesto BN sebagaimana diumum dalam musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Laporan Utusan Malaysia itu kemudiannya dinafi oleh Volkswagen dan Peugeot menerusi laman rasmi facebook masing-masing.

Kedua-dua pembuat kereta antarabangsa itu menolak laporan info grafik harga kereta masing-masing yang disiar dalam penerbitan berkenaan.

“Sila ambil perhatian, harga pada gambar adalah tidak betul. Harga Golf sentiasa menjadi RM157, 888 sejak masa pelancaran. Bukan RM169, 888,” kata seorang wakil dari Volkswagen Malaysia dipetik dari Facebook, merujuk kepada sukan ‘hatchback’ model Golf.

“Tanpa prejudis, apa-apa yang telah dikeluarkan oleh kami, kami tidak berunding sebelum artikel itu pergi ke cetak dan tidak mempunyai hubungan dengan berita terkandung di dalamnya.

“Harga yang ditunjukkan kelihatan 308 Turbo pra-wajah dan 308 VTi yang sebenarnya dua varian berbeza dari Peugeot 308,” kata wakil Peugeot Malaysia dipetik dari laman rasmi facebook kereta buatan Perancis itu.