GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) sebelum membuat keputusan sama ada sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Pulau Pinang yang dijadualkan pada 10 Oktober ini dapat diteruskan atau terpaksa ditangguhkan susulan situasi jerebu semasa.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, pihaknya telah menghubungi Menteri Belia dan Sukan serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang bagi mendapatkan perkembangan dan panduan terkini berhubung situasi berkenaan.
Terdapat garis panduan dalam penganjuran aktiviti sukan dan sekiranya bacaan IPU melebihi 200, kita terpaksa menangguhkan penganjuran Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang yang dijadualkan pada 10 Oktober ini.
“Keputusan rasmi akan dimaklumkan berdasarkan bacaan IPU semasa dan saya akan terus memantau perkembangan bacaan tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan terkini berhubung penganjuran HSN Peringkat Negeri Pulau Pinang pada sidang media di sini, tadi.

Menurutnya, walaupun HSN merupakan program tahunan yang dianjurkan di seluruh negara, keadaan semasa perlu diambil kira bagi memastikan aspek kesihatan dan keselamatan orang ramai tidak terjejas.
HSN dianjurkan secara tahunan di seluruh negara, namun situasi semasa perlu diambil kira, apatah lagi ia melibatkan kesihatan awam.
“Saya akan maklumkan kelak keputusan sama ada kita akan meneruskan penganjuran atau terpaksa menangguhkannya melalui kenyataan rasmi petang ini,” katanya.
Terdahulu, Zi Sen memberitahu bahawa setakat jam 12 tengah hari hari ini, bacaan IPU di stesen pemantauan Seberang Jaya direkodkan pada paras 154.
Sebagai rekod, sambutan HSN Peringkat Negeri Pulau Pinang tahun ini menyasarkan penyertaan lebih 8,000 orang menerusi pelbagai program yang dijadualkan berlangsung di Kompleks Sukan dan Rekreasi Jalan Betek, Bukit Mertajam.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: LAW SUUN TING