Kepada Semua Ibu-bapa di Pulau Pinang

Salam Bersih!

Skim Pelajar Emas Negeri Pulau Pinang

Sejak mengambil tampuk pemerintahan pada tahun 2008, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) telah menjalankan urustadbir Kerajaan berdasarkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT). CAT telah memperlihatkan pentadbiran bersih yang mencatatkan lebihan Bajet setiap tahun dan mengurangkan hutang negeri sebanyak 95% iaitu daripada RM630 juta pada 8 Mac 2008 kepada RM30 juta pada 31 Disember 2011.

Kejayaan ini membolehkan Kerajaan Negeri menjalankan program-program ‘emas’ dan membasmi kemiskinan tegar dalam tempoh masa setahun, sekaligus menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama yang berjaya berbuat demikian.

Melalui program emas ini, Kerajaan Negeri pada setiap tahun memberikan RM100.00 kepada warga emas, golongan OKU dan ibu tunggal. Di bawah program emas ini juga, Kerajaan Negeri memberikan RM1,000.00 secara one-off (sekaligus) bagi waris warga emas untuk tujuan pengurusan jenazah dan bagi mahasiswa emas yang memasuki IPTA. Dalam pada itu, sebanyak RM200.00 juga diberikan kepada setiap anak kelahiran baru.

Program emas terbaru yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah program pelajar emas di mana Kerajaan Negeri memberikan RM100.00 kepada pelajar-pelajar Darjah 1 dan 4 serta Tingkatan 1 dan 4 bagi setiap tahun.

Program-program emas ini adalah merupakan ‘dividen anti-rasuah’ iaitu hasil kejayaan Kerajaan Negeri PR memerangi rasuah. Ini membuktikan bahawa dengan adanya sebuah Kerajaan yang bersih, maka rakyatnya akan menerima dan menikmati faedah yang sepatutnya. Kerajaan Negeri PR memberikan jaminan akan melaksanakan bayaran skim emas ini pada setiap tahun kerana yakin pentadbiran bersih yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri PR kini boleh menjamin pendapatan untuk membiayai program ini. Lagipun pembayaran ini adalah berdasarkan lebihan atau untung Bajet dan bukannya pinjaman yang hanya akan membebankan hutang untuk anak-anak kita pada masa depan.

Marilah kita terus berusaha menjadikan Pulau Pinang lebih bersih, hijau, selamat dan sihat.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

Lim Guan Eng