Mengapa RM1,626 juta hutang tertunggak Perwaja hapus kira? – KM

GEORGE TOWN – Hutang syarikat Perwaja Terengganu Sdn. Bhd. (Perwaja) berjumlah RM1,625.68 juta yang dihapus kira bermula tahun lepas sebagaimana disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 terus dipersoal.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan wajar memberI penjelasan sebenar kepada rakyat memandangkan syarikat gergasi itu dikenalpastI memperoleh keuntungan perniagaan serta masih disenarai dalam Bursa Malaysia.

“Saya rasa itu yang kita nak tanya, mengapa Perwaja sekarang ada untung dan disenarai dalam Bursa Malaysia, mengapa hapus kira,” soal beliau dalam satu sidang media di sini baru-baru ini.

Langkah pentadbiran Najib dipertikai gara-gara Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang diedarkan baru-baru ini ada menyebut, “Peruntukan akan disediakan bagi menghapus kira hutang Perwaja Terengganu Sdn. Bhd. bermula tahun 2011 dan dijangka selesai pada tahun 2027.”

Menurut laporan tahunan itu, sebanyak 26 syarikat daripada 61 syarikat yang menerima pinjaman daripada kerajaan pusat diumumkan mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman.

Selain Perwaja , tunggakan bayar balik pinjaman kedua tertinggi adalah Uda Holdings Bhd., iaitu sebanyak RM287 juta , diikutI dengan Cyberview Sdn. Bhd. (RM280 juta), Syarikat Perumahan Negara Berhad (RM223.40 juta), Malaysia Venture Capital Bhd. (RM220.91 juta), Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (RM165.58 juta) dan Malaysia Debt. Ventures Bhd. (RM150 juta).

“Ini semua pinjaman oleh syarikatsyarikat, tetapi gagal bayar balik (tunggakan),” tegas Guan Eng.