PERAI – Tahap kepuasan hati rakyat Pulau Pinang terhadap prestasi Kerajaan Negeri mencatatkan paras 70.8 peratus secara keseluruhan, dengan masyarakat India merekodkan kadar tertinggi iaitu 82 peratus, diikuti Melayu (74) dan Cina (66).
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, dapatan itu diperoleh menerusi Kajian Kepuasan Hati Rakyat Jelata (Penang Satisfaction Survey) kendalian Penang Institute pada tahun ini, yang melibatkan seramai 1,686 responden mewakili populasi negeri.
Menurut beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi, prestasi Kerajaan Persekutuan pula merekodkan tahap kepuasan keseluruhan sebanyak 59.6 peratus, melibatkan sokongan kaum Melayu pada paras 67 peratus, India (62) dan Cina (51).
“Bagi etnik masyarakat Cina di Pulau Pinang, saya mahu menyeru kita semua memberi perhatian kerana paras kepuasan hati mereka terhadap Kerajaan Negeri adalah 66 peratus, manakala kepada Persekutuan pula 51 peratus.
“Keputusan bagi orang Melayu pula amat mengejutkan apabila paras kepuasan mencecah 74 peratus kepada Negeri dan 67 peratus kepada Persekutuan, manakala bagi orang India pula adalah 82 peratus kepada Negeri dan 62 peratus kepada Persekutuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2026 Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang di sini hari ini.
Kon Yeow menjelaskan bahawa kajian berkenaan turut menunjukkan golongan muda berusia 15 hingga 24 tahun memberikan sokongan memberangsangkan iaitu 86 peratus kepada Kerajaan Negeri dan 82 peratus kepada Kerajaan Persekutuan, manakala warga emas berusia 60 hingga 74 tahun merekodkan 72 peratus kepada Negeri namun hanya 43 peratus kepada Persekutuan.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera parti, wakil rakyat dan agensi Kerajaan Negeri untuk terus bersatu padu serta mempertingkatkan mutu perkhidmatan dalam isu harian seperti pengurusan lalu lintas, tebatan banjir dan bekalan air demi mengekalkan kemenangan Kerajaan Negeri pada pilihan raya akan datang.
“Saya rasa seburuk-buruknya rekod saya sebagai Ketua Menteri, saya dan pasukan saya tidak akan membenarkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kalah dalam pilihan raya yang akan datang.
“Namun, kita perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh dan bersatu padu menyemarakkan semangat juang dalam masa yang masih ada,” tegasnya.



Dalam perkembangan berasingan pada majlis sama, Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan, Lim Guan Eng pula atas kapasiti peribadinya menyatakan bahawa parti itu bersedia untuk bertanding menggunakan lambang roket milik sendiri pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhasrat menggunakan logo masing-masing dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).
Mantan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Ahli Parlimen Bagan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih itu menjelaskan, kesediaan tersebut merupakan pandangan peribadi beliau sebagai maklum balas terhadap syor terbuka yang dikemukakan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR sebelum ini.
“Saya tertarik dengan satu komen daripada rakan saudara Kumaresan iaitu AMK PKR, yang mana beliau mencadangkan bahawa dalam PRU akan datang, parti gabungan Pakatan Harapan mungkin boleh gunakan logo masing-masing.
“Ini sesuatu cadangan yang dibuat secara terbuka oleh PKR. Saya berikan pandangan peribadi, ini bukan pandangan parti, tetapi sekiranya PKR nak, saya rasa DAP sedia gunakan logo roket untuk PRU yang akan datang,” ujarnya.
Turut berucap dalam majlis keramaian itu ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong; Exco Perumahan dan Alam Sekitar merangkap ADUN Perai, Dato’ Seri S. Sundarajoo serta Naib Pengerusi DAP Negeri yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Tanjong dan Setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying serta barisan wakil rakyat negeri yang lain.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NURATIKAH RAHMAT