Pasar Lebuh Cecil siap dinaiktaraf

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF 

KETUA Menteri berjabat tangan dengan salah seorang peniaga ikan di Pasar Lebuh Cecil yang telah siap dinaiktaraf.
KETUA Menteri berjabat tangan dengan salah seorang peniaga ikan di Pasar Lebuh Cecil yang telah siap dinaiktaraf.

GEORGE TOWN – Seramai 323 peniaga Pasar Lebuh Cecil syukur apabila projek menaiktaraf pasar tersebut telah siap sepenuhnya pada Oktober lalu hasil inisiatif khas Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dalam mempertingkatkan kemudahan pasar-pasar di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri dan MPPP prihatin dengan nasib penjaja, oleh itu, langkah-langkah akan diambil untuk menempatkan para penjaja di tempat perniagaan yang lebih selesa serta teratur dengan kemudahan dan bekalan asas.

“Kerajaan Negeri amat peka untuk pastikan semua infrastruktur dan kemudahan awam dibaik pulih dan dinaiktaraf untuk memberikan keselesaan kepada peniaga dan juga pengunjung yang bukan sahaja di sini
tetapi di semua pasar di Pulau Pinang,” katanya ketika merasmikan Pasar Lebuh Cecil di sini baru-baru ini.

Penaiktarafan pasar tersebut adalah antara lima pasar yang diperuntukkan untuk kerja-kerja menaiktaraf selain Pasar Jelutong, Pasar Pulau Tikus, Pasar Air Itam dan Astaka Batu Maung.

Terdahulu, Yang Dipertua MPPP, Patahiyah Ismail berkata, pihaknya sedang berusaha untuk memperbaiki dan menaiktaraf kemudahan perniagaan sedia ada yang akan dilengkapi dengan keperluan asas termasuk bekalan air dan elektrik.

“Sehingga kini, pihak Majlis telahpun menyediakan sejumlah 23 buah pasar awam, 40 buah kompleks penjaja dan 50 buah tapak penjaja. Kemudahan-kemudahan ini akan terus diselenggara dan dinaiktaraf dari semasa ke semasa.

“Namun, untuk menjayakan program-program menaiktaraf tapak-tapak penjaja khususnya dan program
peningkatan kebersihan gerai perniagaan, komitmen serta penglibatan masyarakat penjaja amatlah diperlukan,” tambahnya.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik dan ADUN Pengkalan Kota, Lau Keng Ee.