Kerajaan Negeri fokus tingkatkan kesedaran masyarakat tentang penyakit buah pinggang – Exco

BERAPIT – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, Kerajaan Negeri hari ini sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit buah pinggang.

Katanya, langkah tersebut penting memandangkan penyakit buat pinggang merupakan penyakit komplikasi yang boleh dicegah.

Senaman zumba antara aktiviti yang turut berlangsung sempena Sambutan Hari Buah Pinggan Sedunia 2019 anjuran Pusat Dialisis Tabung Rawatan Pesakit Buah pinggang Seberang Perai, semalam.

“Majoriti pesakit yang menghidap penyakit buat pingggang adalah disebabkan penyakit lain seperti darah tinggi dan kencing manis.

“Penyakit-penyakit seperti ini bukan sahaja boleh dirawat tetapi juga boleh dicegah pada peringkat awal.

“Sebab itu, fokus Kerajaan Negeri sekarang adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penyakit buah pinggang melalui kesedaran terhadap penyakit-penyakit tidak berjangkit,” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2019 dekat Pusat Perniagaan Maju Jaya di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Pusat Dialisis Tabung Rawatan Pesakit Buah Pinggang Seberang Perai, Goik Hock Lai.

Selain forum kesihatan, turut berlangsung adalah aktiviti pemeriksaan kesihatan secara percuma serta senaman zumba.

Mengulas lanjut, Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya menegaskan bahawa Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia bukan hanya platform untuk berbicara mengenai dialisis semata-mata tetapi juga harus menyentuh soal bagaimana cara mengurangkan jumlah rakyat daripada datang mendapatkan rawatan di pusat dialisis.

“Kerajaan Negeri sendiri ada pusat dialisis yang beroperasi secara bersama dengan Perajaan Persekutuan antaranya, di Balik Pulau, Seberang Jaya dan Kepala Batas.

“Pusat-pusat dialisis ini adalah sebahagian daripada program Kerajaan Negeri untuk membantu pesakit-pesakit yang terlibat dengan penyakit kronik.

“Tetapi, jika kita terus membina pusat dialisis tanpa memberikan kesedaran mengenai sebab mereka menghidap penyakit buah pinggang, maka ini akan menjadi satu masalah dan beban kepada rakyat serta negara,” katanya lagi.

Difahamkan, Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia disambut pada 14 Mac sejak tahun 2006 yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai penyakit buah pinggang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS