Kerajaan Negeri iktiraf pelajar cemerlang SPM, STPM

Admin
SEBAHAGIAN pelajar cemerlang STPM bergambar kenang-kenangan bersama Lim Guan Eng dan para pemimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
SEBAHAGIAN pelajar cemerlang STPM bergambar kenang-kenangan bersama Lim Guan Eng dan para pemimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Generasi muda merupakan aset penting bagi negara Malaysia yang sedang mengorak langkah mencapai status negara maju setaraf dengan negara-negara luar yang lain. Generasi muda terutama di peringkat sekolah memainkan peranan penting dalam merealisasikan usaha kerajaan mencapai matlamat ini.

Ekoran itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengiktiraf anak didik bangsa yang meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STPM baru-baru ini, sekaligus mengangkat martabat mereka yang terlibat dalam menjayakan misi kerajaan mencapai status negara maju.

Kejayaan mereka telah diraikan di dua majlis berasingan iaitu Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2010 dan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang STPM 2010 yang telah dianjurkan oleh Kerajaan Negeri (KN) dan diadakan di Dewan Tunku (DOME), Komtar.

Seramai 70 pelajar STPM dan 266 pelajar SPM telah diberi pengiktirafan oleh KN di atas kerja keras dan usaha yang berterusan diiringi doa restu ibu bapa dan para guru apabila meraih keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan masing-masing.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, ibu bapa dan guru memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi intelek demi kepentingan pembangunan negeri dan negara.

“Majlis anugerah seumpama ini adalah inisiatif KN dalam memberi pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang para pelajar dan sebagai dorongan kepada para pelajar untuk meneruskan usaha murni dalam mempertingkatkan kualiti modal insan di kalangan rakyat Pulau Pinang khasnya,” kata Guan Eng.

KN juga berbangga apabila saban tahun menyaksikan peningkatan jumlah pelajar cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STPM. Peningkatan ini secara tidak langsung adalah berteraskan kepada usaha tenaga pengajar dalam memperkasakan kualiti pembelajaran yang diberikan kepada pelajar dan lantas memberi pengiktirafan kepada tenaga pengajar atas usaha mereka untuk meningkatkan taraf pendidikan negara ke tahap yang memberangsangkan.

Peningkatan positif ini memberi perangsang kepada semua pihak baik tenaga pengajar mahupun pelajar untuk menggembleng tenaga, memperkukuh iltizam dan mempertingkatkan komitmen bagi menghadapi cabaran globalisasi yang semakin hebat.

Di peringkat SPM, sebanyak tiga buah sekolah telah berjaya muncul sebagai sekolah terbaik SPM 2010 iaitu SMJK Perempuan China, SMJK Jit Sin, Bukit Mertajam dan SM Sains Tun Syed Sheikh Shahabuddin. Manakala di peringkat STPM, tiga buah sekolah yang diangkat menjadi sekolah terbaik STPM 2010 ialah SMJK Chung Hwa Confucian, SMJK Chung Ling, Butterworth dan SMJK Jit Sin, Bukit Mertajam.

KN berharap semua sekolah ini akan terus melipat kali gandakan usaha supaya kejayaan ini dapat dikekalkan pada tahun-tahun akan datang.

Ketua Menteri juga berpesan agar tidak memandang sepi jasa ibu bapa yang telah memberi semangat, dorongan dan kasih sayang kepada anak-anak dalam usaha mencapai kejayaan. Perjuangan tidak bertitik noktah di sini, malah, setiap kejayaan bermula dengan langkah pertama.