Tarian singa – umpana mandat pentadbiran PR

Admin
AKSI penari tarian singa sedang berdiri di atas ‘stilts’ ketika membuat persembahan.
AKSI penari tarian singa sedang berdiri di atas ‘stilts’ ketika membuat persembahan.

GEORGE TOWN – Singa dianggap sebagai pelindung dalam kebanyakan adat orang Asia, terutamanya bagi mereka yang berketurunan Cina. Tarian singa menjadi adat di negara China, Taiwan, Jepun, Korea, Thailand, Malaysia dan Vietnam.

Setiap negara tersenarai mempunyai corak dan bentuk tarian yang berbeza. Namun, tarian ini lebih terkenal sebagai warisan orang Cina, kerana dikatakan sejarahnya bermula lebih 1,000 tahun lalu. Dua tarian singa yang amat popular ialah “Tarian Singa Utara” dan “Tarian Singa Selatan”.

Penari tarian ini akan meniru pergerakan singa dengan kostum singa. Kostum singa dimainkan oleh dua penari iaitu seorang memainkan di bahagian hadapan dengan menggerakkan kepala kostum, manakala pasangan penari akan memainkan bahagian belakang kostum singa tersebut. Kedua-dua penari itu akan bergerak seakan-akan singa di atas pentas yang disediakan. Tarian ini akan diiringi oleh gong, drum dan dentuman mercun yang dikatakan akan membawa tuah.

Terdapat sebuah lagi tarian singa iaitu dengan menggunakan ‘stilts’. Penari harus bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum memulakan persembahan. Penari juga memerlukan kepantasan dan daya tumpu yang tajam bagi mengekalkan keseimbangan apabila berdiri di atas ‘stilts’ untuk mengelakkan kemalangan akibat terjatuh.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Persatuan Wushu Tarian Singa dan Naga serta ‘The Dragon and Lion Dances Federation Malaysia’ telah menganjurkan sebuah pertandingan tarian singa iaitu ‘International Lion Dance on Stilts Championship’. Pertandingan ini telah diadakan selama dua hari iaitu pada 7 dan 8 Mei 2011, bertempat di Stadium Tertutup, Sekolah Tinggi Han Chiang.

Terdapat 13 kumpulan yang telah mengambil bahagian mewakili pelbagai negara iaitu dari Guangzhou Guangning, Taipei, Hong Kong, Indonesia dan Singapura termasuk pasukan World Champion dari Malaysia.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (KN) boleh diumpamakan seperti tarian singa ini. Walaupun Kerajaan Negeri belum mencapai tahap asas pentadbiran yang kukuh, tetapi Kerajaan Negeri mendapat mandat rakyat Pulau Pinang untuk mentadbir negeri ini, sepertimana dikehendaki membuat persembahan di atas ‘stilts’,” kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian acara tersebut.

Terdapat segelintir individu yang tidak bertanggungjawab sengaja menujukan ‘flash light’ ke arah kepala singa bertujuan menjatuhkan penari dari ‘stilts’. Ada juga individu sengaja membuat kacau bagi merosakkan pentadbiran Kerajaan Negeri, namun, atas sokongan rakyat, Kerajaan Negeri masih boleh berdiri teguh untuk melengkapkan misi menjadikan Pulau Pinang negeri yang makmur dan maju,” ujar beliau lagi.

Guan Eng kemudiannya merasmikan acara pertandingan tersebut dengan memukul gong sebanyak tiga kali.