Rancangan penaiktarafan jalan bagi rakyat PP

Admin
LIM Guan Eng (kiri) menunjukkan lakaran rancangan penaiktarafan jalan sambil ditemani Lim Hock Seng (kanan) ketika sesi sidang media di Komtar baru-baru ini.
LIM Guan Eng (kiri) menunjukkan lakaran rancangan penaiktarafan jalan sambil ditemani Lim Hock Seng (kanan) ketika sesi sidang media di Komtar baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang (KN) sentiasa berusaha untuk menambahbaik sistem aliran trafik di negeri ini untuk rakyat menikmati perjalanan yang lebih selesa dan selamat. Usaha ini ekoran daripada penambahan jumlah kenderaan dari semasa ke semasa yang menyebabkan berlakunya kesesakan jalan raya terutama di bahagian pulau.

Bagi merealisasikan hasrat ini, KN telah mengambil keputusan untuk menaiktaraf jalan raya sedia ada dan menambah beberapa infrastruktur baru di kawasan yang terlibat secara berperingkat.

Bagi fasa pertama, beberapa jalan utama telah dikenalpasti untuk dinaiktaraf iaitu sekitar Jalan Masjid Negeri, Jalan Gottlieb dan Jalan Bagan Jermal.

Jalan Masjid Negeri yang dikenalpasti antara jalan yang paling sesak akan ditambah lorong daripada dua kepada tiga lorong dan dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik terutama pada waktu puncak.

Bagi Jalan Gottlieb dan Jalan Bagan Jermal, lorong tambahan akan dibuat bagi kedua-dua hala ekoran penambahan jumlah kenderaan di kawasan tersebut. Penambahan jalan ini juga bertujuan untuk memudahkan pihak ibu bapa dan pemandu bas sekolah meletakkan kenderaan di tepi jalan sementara menunggu waktu sekolah tamat.

Di samping itu, keprihatinan KN terhadap penunggang basikal juga tidak dilupakan dengan penambahan lorong bagi penunggang basikal di persimpangan Jalan Kebun Bungah ke persimpangan Jalan Kelawei.

Sementara itu, bagi memastikan kelancaran kenderaan di Jalan Scotland dan persimpangan Jalan Batu Gantung, KN merancang untuk membuang lampu isyarat di jalan tersebut dan menggantikan dengan mambuat jejambat susur keluar/masuk bagi kedua-dua hala jalan tersebut.

Bulatan Jalan Udini juga dirancang untuk dinaiktaraf dengan menyediakan kemudahan pusing balik (U-turn) bagi kenderaan menuju ke Jalan Masjid Negeri.

KN juga akan menyediakan aliran pusing ke kiri di Lorong Batu Lancang bagi memudahkan kenderaan yang menuju ke Lebuhraya Thean Teik.

Kesemua cadangan penaiktarafan jalan ini diharap dapat membantu mengurangkan kesesakan trafik yang meruncing terutama pada waktu puncak. Ini pastinya dapat memberi kepuasan kepada rakyat Pulau Pinang menikmati perjalanan yang selesa dan selamat. Penambahbaikan jalan ini juga diharap dapat mengurangkan peratusan kemalangan di negeri Pulau Pinang.