Kerajaan Negeri salur dana pendidikan cecah RM300 juta sejak 2009

Admin

AIR ITAM – Kerajaan Negeri telah menyalurkan dana mencecah kira-kira RM300 juta menerusi program bantuan sosial berkaitan pendidikan di Pulau Pinang sejak tahun 2009.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sumbangan tersebut bukan merupakan jumlah kecil bagi sesebuah Kerajaan Negeri, tambahan pula bidang pendidikan sepatutnya berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Namun, ulasnya, demi pembekalan modal insan dan kepentingan pendidikan anak-anak Pulau Pinang, Kerajaan Negeri percaya bahawa bantuan itu sedikit-sebanyak dapat disalur serta dimanfaatkan oleh pihak-pihak sekolah.

“Buktinya, bukan hanya kemudahan-kemudahan asas sekolah dapat ditingkatkan, malah pelbagai inisiatif seperti pembelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) turut berjaya diserapkan ke arah Revolusi 4.0. Di samping itu, Kerajaan Negeri pada tahun ini juga telah memperluaskan bantuan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di negeri ini.   

“Walaupun jumlah disatukan tidak dapat memberikan satu jumlah yang besar kepada setiap sekolah, namun ianya dilihat sebagai satu usaha baik dan Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha ini,” ucap beliau pada Majlis Perasmian Program Jelajah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2019 Peringat Negeri Pulau Pinang di sini tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Mohd. Ali Sebran; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Azhar Arshad dan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan.

Mengulas mengenai SSPN, Kon Yeow berharap ia bakal menjadi antara pilihan ibu bapa untuk menabung demi masa depan pendidikan anak-anak.

“Budaya menabung sebenarnya bukan baharu di Malaysia kerana sejak dahulu telah banyak skim sedemikian yang diwujudkan demi kemudahan masa depan.

“Simpanan ini harus bermula pada usia muda supaya ia dapat digunakan dengan sebaik-baiknya apabila seseorang anak dapat melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) kelak,’’ serunya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Menurut Kon Yeow, sejak 2004 sehingga 31 Julai 2019, sebanyak 4.2 juta akaun SSPN telah dibuka dengan jumlah keseluruhan deposit berjumlah RM5.0.

“Daripada jumlah tersebut, data untuk negeri Pulau Pinang menunjukkan sebanyak 207,928 akaun SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM399 juta,’’ jelasnya.

Dalam pada itu, Wan Saiful menyatakan bahawa pihaknya mensasarkan sebanyak 500,000 akaun SSPN akan dibuka dengan deposit berjumlah RM1 bilion bagi tahun 2019.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

Video : LAW SUUN TING