Kerajaan Negeri sedia kaji jika terdapat cadangan BKN didepositkan ke dalam akaun SSPN

Admin

AIR ITAM – Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkan sekiranya terdapat cadangan Biasiswa Kecil Negeri (BKN) Pulau Pinang didepositkan ke dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika mengulas soalan yang diajukan pada sidang media sejurus merasmikan Program Jelajah SSPN 2019 Peringat Negeri Pulau Pinang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Kang, Jalan Thean Teik dekat sini petang tadi.

“Biasiswa Kecil Negeri (BKN), kita (Kerajaan Negeri) bagi RM600 tunai kepada pelajar setiap tahun iaitu kepada mereka yang terpilih dan layak, maka kalau wang itu boleh dideposit dan penerima memerlukan wang itu, mereka masih boleh keluarkan daripada akaun.

“Selain itu, sebab ada akaun ini (SSPN), mungkin akan galakkan ibu bapa buat caruman hingga anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke institusi penggajian tinggi (IPT) kelak,” ujarnya.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Mohd. Ali Sebran; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Azhar Arshad dan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan.

Dalam pada itu, Wan Saiful turut merakamkan penghargaan di atas kesudian Kon Yeow mengkaji perkara tersebut dalam menambah pendeposit bagi SSPN.

“Pulau Pinang juga merupakan sebuah negeri yang unik yang mana jumlah pendeposit mencecah 207,000 orang dengan melebihi jumlah peminjam, 187,000 orang,’’ jelasnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

Video : LAW SUUN TING