Kerajaan Negeri tidak pernah tolak kerjasama anjur pameran kerjaya

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat daripada ahli-ahli Persatuan Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PEMAHIR) dekat pejabat beliau di Komtar.

Pertemuan kira-kira 30 minit itu membincangkan mengenai latar belakang serta program-program yang telah dan bakal dinjurkan oleh PEMAHIR dalam meningkatkan tenaga kerja berkemahiran di negeri ini terutamanya melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pengerusinya, Mohd. Jailani Dawood Ibrahim berkata bahawa PEMAHIR yang ditubuhkan pada tahun 2018, kini sedang melakukan persiapan bagi penganjuran pameran kerjaya yang dijadualkan berlangsung pada 14 Julai ini.

Ketua Menteri ketika menerima kunjungan hormat PERMAHIR di pejabat beliau sebentar tadi.

“Objektif kami adalah untuk mempromosikan TVET khususnya kepada pelajar-pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) kerana masih ramai pelajar dalam kategori ini keciciran dalam pelajaran.

“(Dan) memandangkan Pulau Pinang merupakan negeri industri dan terdapat banyak kilang industri, maka masih banyak peluang pekerjaan yang boleh diisi oleh pelajar-pelajar yang mengambil kursus kemahiran khususnya TVET,” ujarnya sambil menambah bahawa pihaknya memerlukan sokongan Kerajaan Negeri dalam menjayakan program tersebut.

Sementara itu, Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah menolak sebarang kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan pameran kerja.

Malah kata beliau, Kerajaan Negeri sendiri aktif mengadakan pameran kerjaya melalui kerjasama agensi-agensi negeri seperti Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC), InvestPenang (IP) dan lain-lain lagi.

“Sebagai contoh, Kerajaan Negeri baru saja selesai menganjurkan ‘Expo Jom Cari Kerja’ melalui Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Pelancongan dan Ekonomi Kreatif serta MMK Belia dan Sukan yang menyasarkan golongan berbeza.

“(Dan) sekiranya ada NGO yang mahu mengadakan kerjasama bagi penganjuran pameran kerjaya perlu mengemukakan kertas kerja yang lengkap kepada Kerajaan Negeri untuk diperhalusi,” katanya.

Turut hadir pada dalam pertemuan itu ialah Setiausaha PEMAHIR, Sabarun Shaik Dawood.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS