Kon Yeow harap dapat ‘projek istimewa’ Pusat memandangkan PM10 anak Pulau Pinang

Admin

PULAU TIKUS – Sempena tahun baharu 2023, Kerajaan Negeri berharap akan mendapat projek infrastruktur kritikal daripada Kerajaan Persekutuan memandangkan Perdana Menteri Ke-10 Malaysia Y.A.B. Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan anak kelahiran Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Pulau Pinang memerlukan projek infrastruktur kritikal seumpama tiga pulau buatan di bahagian selatan pulau (PSI), transit aliran ringan (LRT) atau komponen-komponen lain di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Menurut beliau, projek infrastruktur kritikal tersebut penting kepada negeri Pulau Pinang bagi menghadapi jangkaan kemelesetan ekonomi dalam beberapa tahun akan datang.

“Semasa Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri (Ke-5 Malaysia), Pulau Pinang mendapat projek istimewa berupa jambatan kedua (Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah) yang bernilai kira-kira RM4 bilion.

“Saya berharap ada ‘projek istimewa’ untuk negeri Pulau Pinang, mungkin LRT dan sebagainya yang akan membawa negeri Pulau Pinang ke depan, memandangkan Perdana Menteri Ke-10 Y.A.B. Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah anak kelahiran negeri ini,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi semasa sesi bual bicara secara secara langsung dalam rancangan Chupp @ MUTIARAfm terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Pulau Pinang di sini pada 3 Januari 2023.

Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota memberitahu bahawa jika projek-projek infrastruktur kritikal tersebut disegerakan di negeri Pulau Pinang, ia sekali gus membawa limpahan ekonomi kepada negeri-negeri lain di utara Semenanjung Malaysia.

“Pulau Pinang diiktiraf sebagai negeri yang penting dalam pembangunan negara.

“Sebagai negeri hab ekonomi dan industri penting, jadi apa (projek infrastruktur kritikal) yang akan atau sedang dilaksanakan adalah untuk membolehkan negeri Pulau Pinang terus memainkan peranan lebih baik serta berkesan (sekali gus) seluruh wilayah utara (Semenanjung Malaysia) juga turut mendapat manfaat,” ulasnya sambil berharap Kerajaan Negeri dapat mengadakan kerjasama lebih erat dengan ‘Kerajaan Perpaduan’ yang diterajui Anwar.

Sebagai rekod, RM74 bilion pelaburan langsung asing (FDI) ke Pulau Pinang bagi tahun 2021 merupakan yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain. Sehingga September 2022, FDI ke negeri ini direkodkan sebanyak RM7.9 bilion.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : LAW SUUN TING