Kes COVID-19 semakin meningkat, umum disaran sentiasa waspada

Admin
covid16dec

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa keadaan jangkitan COVID-19 di negara ini masih lagi terkawal meskipun jangkitan kes dilaporkan meningkat secara mendadak.

Menurut KKM, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan meningkat daripada 6,796 kepada 12,757 pada Minggu Epidemiologi ke-49 (ME 49/2023) yang mana majoriti pesakit hanya mengalami gejala ringan serta tidak memerlukan rawatan di hospital.

dsc 2866
DANIEL Gooi Zi Sen.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen ketika dihubungi berkata bahawa berdasarkan situasi terkini, sebanyak 98 peratus daripada kes yang dilaporkan adalah kes bergejala ringan.

“Pihak saya telah mengadakan perbincangan bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) untuk memastikan pemantauan dilakukan ke atas trend kes positif COVID-19 khususnya di negeri Pulau Pinang.

“Tidak lupa juga pemantauan melibatkankan lokasi-lokasi yang berisiko tinggi seperti rumah warga emas, asrama, penjara, pusat pemulihan penagihan narkotik (PUSPEN), depot imigresen serta fasiliti-fasiliti lain bagi mengelakkan berlakunya kluster COVID-19.

“Dalam masa yang sama, orang awam juga diseru untuk mendapatkan maklumat yang sahih serta tepat berhubung situasi COVID-19 melalui saluran yang betul iaitu melalui portal KKMNOW (http://data.moh.gov.my/dashboard/covid-19),” ujarnya.

Tambah Zi Sen, orang awam diseru untuk meningkatkan kesedaran terhadap langkah-langkah pencegahan COVID-19 seperti mana yang disarankan oleh KKM.

“Saya ingin menyeru orang awam untuk kerap mencuci tangan dengan sabun atau pensanitasi serta memakai pelitup muka terutamanya bagi yang bergejala atau apabila berada di tempat tertutup dan sempit.

“Bagi kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah, dan ibu mengandung juga digalakkan memakai pelitup muka,” serunya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SIEW CHIA EN