Ketua Menteri perjelas sebab peletakan jawatan Lee Kah Choon

Admin

GEORGE TOWN – Peletakan jawatan Dato’ Seri Lee Kah Choon sebagai Penasihat Khas Pelaburan kepada Ketua Menteri adalah demi mengelak konflik kepentingan selepas beliau dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah (non-independent director) dalam syarikat-syarikat tersenarai dalam Bursa Saham iaitu Federal Oats Mill Sdn. Bhd., Aemulus Holdings Bhd., L&P Global Bhd. dan Nation Gate Holdings Bhd..

 

 

 

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kah Choon sebenarnya berhasrat melepaskan jawatan tersebut sejak tahun 2023, namun diminta untuk menangguhkan perkara itu sehingga selesai Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ke-15.

 

 

“Sebaik selesai PRN, Yang Berbahagia Dato’ Seri Lee Kah Choon telah membuat permohonan semula peletakan jawatan ini dan saya menerima peletakan jawatan beliau pada akhir September 2023,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan semasa Sesi Penggulungan Mesyuarat Kedua Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 dan Usul Anggaran Pembangunan 2024 di DUN dkat sini pada 30 November 2023.

 

 

 

Penjelasan itu asalah sebagai menjawab perkara yang dibangkitkan ADUN Sungai Dua merangkap Ketua Pembangkang, Muhammad Fauzi Yusoff.

 

 

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut menafikan perubahan kolaborasi PDC dengan UMECH Construction Sdn. Bhd. kepada UMECH Land Sdn. Bhd. tidak diberitahu dalam mana-mana mesyuarat.

 


“Pertukaran rundingan ini telah dibentangkan dan dimaklumkan oleh pihak UMECH di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas bertarikh 28 November 2022, seterusnya dibentangkan oleh PDC di dalam Mesyuarat Lembaga PDC Bil. 1/2023 bertarikh 9 Februari 2023.

 

 

 

“Justeru, kenyataan bahawa perkara ini tidak dibentangkan dalam mana-mana mesyuarat adalah tidak benar,” ujarnya sebagai menjawab soalan daripada ADUN Air Putih, Lim Guan Eng.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR