Ketua Menteri saksi kehebatan peserta Cup Prix, Akid juara lumba di Batu Kawan

Admin
KETUA Menteri (depan, kanan) merakamkan gambar dengan para pemenang Kategori Perdana Cup Prix, CP150 yang dilangsungkan di kawasan lapang parkir berhampiran Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada 4 Disember 2022.

BUKIT TAMBUN – Akid Aziz, pelumba ONEXOX TKKR Racing Team muncul sebagai juara dalam penutup saingan Kejuaraan Malaysia Cub Prix yang berlangsung di kawasan lapang parkir berhampiran Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada petang ini.

Di litar perlumbaan, Akid pada awal permulaan saingan menerima cabaran hebat daripada pemenang keseluruhan Kategori Perdana Cup Prix, CP150 iaitu Ahmad Afif Amran yang juga pelumba pasukan Yamaha CKJ Racing, namun, akhirnya berjaya menguasai arena hingga ke garisan penamat.

Pelumba pasukan Honda Yuzy Idemitsu, Azroy Hakeem Anuar mengisi tempat kedua kejohanan, manakala Kasma Daniel Kasmayudin dari Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ketiga terbaik dalam acara sama.

ANTARA aksi pelumbaan yang sempat dirakamkan jurugambar Buletin Mutiara di sini petang tadi.
KETUA Menteri turut meluangkan masa melawat gerai pameran yang dilangsungkan serentak dengan Cup Prix di sini tadi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan menyampaikan piala serta hadiah kepada para pemenang perlumbaan berkenaan.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua dan beberapa pemimpin Kerajaan Negeri lain serta wakil dari Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Sementara itu, Shafiq Rasol yang baharu dinobatkan sebagai juara CP125 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) awal bulan lalu terpaksa berpuas hati pada kedudukan kedua terbaik dalam pusingan akhir ini.

Bercakap kepada pemberita, Shafiq memberitahu bahawa beliau berasa saingan adalah sangat sengit pada pusingan akhir kali ini.

“Saya cuba untuk memotong hingga ke pusingan yang terakhir dan berjaya juga menaiki podium walaupun bukan sebagai juara,” katanya.

Difahamkan, Syafiq Rosli ialah pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor yang mengungguli pusingan tersebut sementara Hafiza Roza dari pasukan ONEXOX TKKR Racing pula sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR