Turun padang perjelas fakta & isu sebenar – Mohd. Yusmadi

Admin
PASANGAN pengantin bergambar kenang-kenangan dengan para tetamu yang hadir di Kampung Paya, Simpang Empat. Ketua Menteri dan Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff turut singgah di majlis keraian berkenaan.
PASANGAN pengantin bergambar kenang-kenangan dengan para tetamu
yang hadir di Kampung Paya, Simpang Empat. Ketua Menteri dan Mohd.
Yusmadi Mohd. Yusoff turut singgah di majlis keraian berkenaan.

BAYAN LEPASKehadiran konvoi motosikal berkuasa besar yang mengiringi Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ternyata menarik perhatian segenap penduduk di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bayan Lepas terutama penduduk di Flat Bandar Perda, Teluk Kumbar, di sini.

Ketua Menteri, dalam siri lawatan dan turun padang ke Parlimen Balik Pulau berkata bahawa, program turun padang berjumpa dan mendekati masyarakat setempat adalah baik supaya pucuk pimpinan tahu keadaan rakyatnya dan sentiasa ‘bersama’ rakyat.

“Apabila kita (pucuk pimpinan dan wakil rakyat) turun padang, lihat keadaan masyarakat, kita cari jalan penyelesaian dan segera bantu rakyat, ambil tindakan apa yang perlu dilakukan.

“Ini (turun padang) penting supaya masyarakat tahu Kerajaan Negeri adalah kerajaan yang berjiwa rakyat, dari rakyat dan untuk rakyat,” kata beliau ketika berucap merasmikan Majlis Jamu Selera Pulut Durian dan Buah-buahan Tempatan sempena lawatan Ketua Menteri di sini baru-baru ini.

Guan Eng , bersama beberapa pucuk pimpinan negeri turun sendiri ke setiap kawasan Parlimen bagi memastikan masalah-masalah yang dihadapi masyarakat setempat dapat diselesaikan dengan cara berhemah dan segera.

“Walaupun terdapat sedikit kekecohan oleh Perkasa (pertubuhan bukan kerajaan, NGO) pada awal lawatan saya pada hari ini, namun, hasrat murni untuk berjumpa masyarakat Balik Pulau tidak pernah pudar.

“Saya percaya, jika niat kita ikhlas, segalanya akan lancar walaupun terdapat halanganhalangan pada awalnya,” ujar Guan Eng yang agak terkilan dengan tindakan Perkasa yang membuat demonstrasi ketika lawatan beliau ke Pasar Telok Bahang.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff yang turut serta menyatakan pendirian Kerajaan Negeri dalam memastikan kelestarian hidup rakyat Pulau Pinang sama ada dalam pembangunan sosioekonomi masyarakat desa dan juga pembangunan fizikal serta fasiliti di Balik Pulau.

“Pimpinan Kerajaan Negeri amat komited dengan apa yang hendak dilakukan dan semestinya pucuk pimpinan yang turun pada hari ini adalah untuk memenuhi tuntutan masyarakat dan mendekati rakyat di Parlimen Balik Pulau.

“Selain itu, perlunya kami (pucuk pimpinan) turun padang pada hari ini adalah bagi memberi penjelasan mengenai fakta dan isu sebenar kepada rakyat memandangkan kita tidak menguasai media cetak sebagai medium penerangan,” ujar beliau ketika berucap di hadapan kira-kira 600 penduduk sekitar Taman Perda, Teluk Kumbar di sini.

Ketua Menteri dan pucuk pimpinan sebelumnya turut merasmikan Penang Free WiFi di dua lokasi, Dewan Sri Pantai, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Sungai Batu dan Flat Taman Perda serta turut meluangkan masa kira-kira 30 minit di Majlis Perasmian Pusat Komuniti dan Pasukan Peronda Sukarela bagi JKKK Gertak Sanggul di sini.

Hadir sama dalam lawatan tersebut, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain; Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow; Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut & Keretapi), Lim Hock Seng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik.