Program Wanita Jana Rezeki bantu kumpulan B40 jana pendapatan

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melancarkan program Wanita Jana Rezeki bagi menggalakkan golongan wanita khususnya daripada kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) untuk menjana pendapatan.

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng berkata bahawa seramai 65 peserta dan 10 usahawan wanita telah terpilih mengikuti program tersebut sejak dilancarkan pada 20 September lalu.

“Kerajaan Negeri berusaha membantu golongan wanita di negeri ini untuk menjana rezeki dengan memanfaatkan kemahiran yang ada pada mereka.

“Susulan kejayaan Projek Kuih Raya yang dilancarkan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kerajaan Negeri memperkenalkan pula program Wanita Jana Rezeki sebagai galakan kepada golongan wanita B40 menjana pendapatan sendiri.

“Setiap peserta yang terpilih menerima geran bernilai RM1,000 setiap seorang untuk mengembangkan perniagaan melalui pembelian keperluan perniagaan bagi menambahkan produktiviti masing-masing.

“Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) pula akan menyokong daripada segi pemasaran produk bersama-sama dengan pihak Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK),” katanya pada sesi penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini pada 16 Oktober lalu.

Tambah Chong Eng, bagi melahirkan lebih ramai usahawan wanita di negeri ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini melancarkan Program Mentor Usahawan Wanita Pulau Pinang (PWEMP) yang dikendalikan oleh PWDC.

Program ini adalah selaras dengan Visi Penang2030 yang menyasarkan 40 peratus usahawan wanita di negeri ini menjelang tahun 2030.

“Melalui program ini, seramai 116 menti daripada kumpulan B40 dan 51 menti daripada kumpulan M40 ditawarkan peluang untuk membina rangkaian serta mendapat bimbingan perihal perniagaan daripada 34 mentor berpengalaman,” tambahnya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri melancarkan Projek Kuih Raya pada tempoh PKP sehingga berjaya membolehkan 49 wanita daripada golongan B40 menjana pendapatan sebanyak RM62,540 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS