Kini masa untuk bekerja, bukannya ‘berbulan madu’ – YB Batu Uban

Admin

PENGALAMAN bekerja di lapangan sebagai mantan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selama empat penggal berturut-turut menjadikan platform buat anak muda kelahiran Batu Gajah, Perak ini melonjakkan namanya dalam arena politik apabila dicalonkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) lalu.

Wartawan Buletin Mutiara, NORSHAHIDA YUSOFF dan Jurugambar, J. PATMAVATHY berkesempatan menemubual beliau, A. KUMARESAN meskipun jadualnya agak padat.

Bersifat peramah dan fasih berbahasa Melayu menjadikan beliau seorang yang mudah didekati semenjak dahulu.

Memulakan bicara, graduan Universiti Sains Malaysia (USM) tersebut percaya, sebagai ADUN, beliau kini dapat menyumbangkan lebih lagi kepada pembangunan masyarakat.

Memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Kepujian), Kumaresan menyatakan minatnya terhadap dunia politik timbul sejak menuntut di universiti lagi.

“Sikap keprihatinan dalam jiwa untuk membantu pelbagai lapisan masyarakat dan kecenderungan untuk menyumbang ke arah pembangunan negara Malaysia yang lebih demokrasi dan bebas rasuah berkobar-kobar ketika itu.

“Justeru, saya mengambil keputusan menyertai politik usai menamatkan pengajian dengan menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai idola ke arah mencapai gagasan tersebut.

“Karier saya bermula apabila menjadi Pembantu Politik kepada (YB) Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru)… saya banyak belajar mendekati masyarakat serta mengendalikan aduan rakyat setempat dan belajar selok-belok cabaran dalam dunia politik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sedia berkhidmat untuk penduduk
Kumaresan yang merupakan muka baru bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Uban percaya bahawa beliau mampu memberikan khidmat sebaiknya buat para pengundinya yang menjangkau 32,000 penduduk.

“Saya yakin mampu memberikan perkhidmatan terbaik buat mereka, kerana sebagai Ahli Majlis MBPP, sememangnya
sejak empat penggal lalu saya sering turun padang mendepani tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Malah, ramai penduduk di sini turut mengenali saya termasuk pemimpin tempatan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK).

“Jadi, bila parti (PKR) memberikan kepercayaan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab di sini, saya rasa tak ada masalah untuk mengekalkan kemenangan PKR di Batu Uban pada pilihan raya lalu,” ujarnya yang telah berumahtangga dan mempunyai seorang cahaya mata berusia tiga tahun.

Ditanya mengenai perasaannya ketika meraih kemenangan dan kebangkitan rakyat yang begitu signifikan termasuk di Pulau Pinang, Kumaresan dalam responsnya memberitahu, ia adalah amanah yang harus dipikul dengan penuh tanggungjawab untuk tempoh lima tahun mendatang.

“Walaupun gembira dengan kemenangan besar yang diperoleh Pakatan Harapan (PH), tetapi bagi saya sendiri, ini adalah tanggungjawab besar yang harus dipikul dengan amanah dan integriti walaupun saya telah berada lama dalam arena
politik.

“Skop kerja lebih menyeluruh kini walaupun pada dasarnya lebih kurang sama dengan peranan Ahli Majlis dahulu.

“Kelebihan sebagai ADUN adalah saya dapat membawa isu dan masalah terus kepada Exco-exco bertanggungjawab dan juga sidang DUN,” jelasnya sambil menyatakan bahawa ia adalah kemenangan rakyat dan kini adalah masa untuk bekerja dan bukannya ‘berbulan madu’.

Perancangan jangka pendek
Ulas Kumaresan, sebagai perancangan jangka pendek, beliau mempunyai empat perancangan utama untuk Batu Uban iaitu tuisyen percuma, pembangunan bercampur, mesra belia dan kebajikan sosial.

“Dalam tempoh terdekat, saya merancang untuk mengadakan Pusat Tuisyen Rakyat Percuma kepada pelajar kurang berkemampuan.

“Saya akan cuba memfokuskan bantuan pendidikan sampingan kepada pelajar seperti pusat tuisyen percuma dan pusat aktiviti pelajar.

“Selain itu, seperti semua sedia maklum, kawasan Batu Uban ini terdiri daripada pelbagai pembangunan… terdapat universiti, kehijauan dan juga perniagaan. Justeru ia adalah sesuai untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk di sini dengan menjadikan ia sebagai bandar pintar.

“Bandar pintar ini akan merangkumi pencapaian taraf pendidikan tinggi, pembangunan terancang, teknologi moden dan inovatif serta kemudahan infrastruktur yang efisien,” katanya lanjut.

Janji
Dalam pada itu, Kumaresan juga berjanji akan merealisasikan Batu Uban sebagai sebuah kawasan mesra belia dengan mempelbagaikan penganjuran dan aktiviti melibatkan golongan berkaitan.

“Antara yang boleh dilakukan ialah keutamaan infra asas baru yang lebih holistik untuk kesejahteraan belia beriadah dan melakukan aktiviti sukan… juga menganjurkan Karnival Kerjaya agar mereka dapat mencari peluang pekerjaan.

“Manakala, bagi kebajikan, 30 peratus dalam JKKK akan terdiri daripada golongan wanita dan memperbanyakkan lagi program latihan kemahiran dan keusahawanan,” ujarnya.

Memperjuangkan hak kewarganegaraan
Sebagai seorang yang aktif dalam politik sejak 10 tahun lalu, pencapaian memberangsangkan adalah apabila Kumaresan diberikan kepercayaan bagi menubuhkan satu task force bagi memperjuangkan masalah kewarganegaraan iaitu isu stateless.

Katanya, beliau telah banyak membantu mereka yang bermasalah untuk mendapatkan hak kewarganegaraan, sijil kelahiran dan status anak watan Malaysia.

Inisiatif dan keprihatinannya terserlah apabila hampir setiap minggu beliau akan naik turun di Jabatan Pendaftaran Negeri Pulau Pinang bagi membantu urusan permohonan warganegara dan berkaitan.

“Kegigihan saya memperjuangkan isu berkenaan lahir disebabkan ibu saya sendiri merupakan salah seorang bekas
pemegang kad pengenalan merah suatu masa dahulu.

“Saya memahami keperitan dan kepayahan untuk berurusan dan mendapatkan peluang di negara ini apabila seseorang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan yang sah dan jelas.

“Setelah mak berjaya memperoleh kad pengenalan biru, saya rasa terpanggil untuk membantu golongan yang benar-benar memerlukan ini…ini bukan senang dan memerlukan banyak kesabaran.

“Walau bagaimanapun, satu harapan saya apabila PH berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan kini, saya berharap Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat menyelesaikan masalah kewarganegaraan ini dan juga memudah cara kepada mereka yang benar-benar layak,” jelas beliau.