RM1,000 Bantuan Khas Kewangan untuk penjawat awam Pulau Pinang

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Bantuan Khas Kewangan (Bonus Khas Raya) keseluruhan sebanyak RM3.6 juta atau RM1,000 seorang akan disalurkan kepada semua penjawat awam Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang menjelang Aidilfitri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan perkara itu dalam Majlis Perhimpunan Anggota Penjawat Awam Bersama-sama YAB Ketua Menteri dekat dewan The TOP, Komtar di sini 5 Jun lalu.

“Semoga dengan bantuan khas ini dapat membantu semua penjawat awam, sempena perayaan Hari Raya Puasa tidak lama lagi,”
ujarnya sambil mendapat tepukan gemuruh para penjawat awam.

Sebelum itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus ketika berucap mengingatkan bahawa semua Ketua Jabatan
tidak kira peringkat Negeri mahupun Persekutuan supaya memberikan kerjasama di bawah pentadbiran Kon Yeow di Pulau Pinang, memandangkan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas turut menguasai Kerajaan
Persekutuan.

Ketika ditanya mengenai tarikh bayaran bonus berkaitan, Farizan menyatakan bahawa ia akan dibayar pada 13 Jun ini.

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad
Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dan barisan Exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang lain turut menyertai majlis rasmi tersebut.