INISIATIF pemasangan kiosk pengumpulan minyak masak terpakai, ‘Oil2Wang’ di kawasan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Gedong dilihat sebagai langkah proaktif dalam mengurangkan pencemaran alam sekitar, di samping memberi pulangan tunai kepada penduduk setempat.
Pengerusi MPKK Bukit Gedong, MD. IZZUDIN IDRIS, 51, berkata bahawa projek tersebut dilaksanakan menerusi peruntukan di bawah inisiatif Sejati Madani yang bertujuan memperkasa komuniti melalui program berimpak tinggi.
Susulan itu, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL bersama-sama jurugambar, ALISSALA THIAN berkesempatan menemu bual beliau untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kiosk Oil2Wang.

Menurut Md. Izzudin, pelaksanaan inisiatif kiosk minyak terpakai adalah antara usaha pihak MPKK untuk menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan komuniti setempat.
“Melalui geran ini, setiap MPKK berpeluang memohonsehingga RM100,000 bagi melaksanakan projek yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
“Kami berharap inisiatif ini dapat menggalakkan amalam kitar semula, sekali gus memupuk gaya hidup yang lestari,” katanya.
Tambahnya, mesin berkenaan dibangunkan oleh pembekal tempatan dengan rujukan teknologi daripada sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Johor, selain dilengkapi sistem automatik yang memudahkan urusan pengguna.
“Pengguna hanya perlu mengimbas Kod QR untuk mengakses mesin sebelum memasukkan minyak masak terpakai dengan minimum satu kilogram.
“Kemudian, sistem akan merekod transaksi dan bayaran akan terus dikreditkan ke akaun pengguna tanpa perlu pengesahan manual,” jelasnya.
Sementara itu, kadar bayaran yang ditawarkan bagi minyak masak terpakai menjadi antara faktor yang menarik minat orang ramai untuk turut serta.
“Kadar bayaran yang ditawarkan adalah sekitar RM2.50 bagi setiap kilogram minyak terpakai dengan minimum satu kilogram.
“Insentif ini secara tidak langsung dapat menggalakkan orang ramai untuk tidak membuang minyak secara sembarangan, sebaliknya melupuskannya melalui saluran yang lebih selamat dan teratur.
“Di samping itu, kiosk tersebut juga dilengkapi dengan peranti pintar untuk membezakan minyak masak dengan jenis sisa yang lain,” katanya.
Mengulas lanjut, Md. Izzudin berkata mesin tersebut mula dipasang dan beroperasi sejak Februari lalu dan tela hmenerima maklum balas positif daripada komuniti setempat.
“Sambutan awal amat menggalakkan dek mendapat perhatian dalam kalangan penduduk sekitar taman di sini yang mula mencuba kemudahan itu bagi melupuskan minyak masak terpakai secara lebih teratur.
“Malah, kita juga merancang untuk mengadakan majlis perasmian dalam masa terdekat dengan demonstrasi penggunaan mesin yang bakal disempurnakan oleh jemputan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan di sini,” ujarnya.
Sebagai usaha memperluas penggunaan kiosk berkenaan, Md, Izzudin berkata pihak MPKK turut merancang pelbagai inisiatif promosi termasuk hebahan di media sosial, program peringkat negeri serta penglibatan peniaga di kawasan sekitar.
“Kita mahu bukan sahaja penduduk setempat, malah orang luar juga memanfaatkan kemudahan ini.
“Promosi akan diperluas ke pasar malam dan platform seperti Facebook bagi meningkatkan kesedaran awam, di samping menggalakkan para peniaga menggunakan kiosk ini untuk melupuskan minyak terpakai secara betul agar tidak dibuang di tempat yang tidak sepatutnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Md. Izzudin turut menggalakkan MPKK di kawasan lain untuk turut mengambil peluang memohon geran Sejati Madani bagi melaksanakan projek serupa.
“Setiap projek biasanya diperuntukkan satu mesin, tetapi sekiranya lebih banyak kawasan melaksanakannya, impak kepada alam sekitar dan ekonomi komuniti akan lebih besar,” serunya.
Md. Izzudin berharap agar usaha berterusan serta kerjasama dengan pihak pembekal dan agensi berkaitan akan memastikan kesinambungan projek tersebut.
“Inisiatif ini bukan sahaja membantu menjaga kebersihan alam sekitar tetapi turut memberi pulangan ekonomi kepada masyarakat.
“Justeru, kita harap lebih ramai akan tampil menyokong dan memanfaatkannya,” jelasnya lanjut.
Selain inisiatif kiosk minyak terpakai, MPKK Bukit Gedongturut giat melaksanakan pelbagai projek komuniti lain seperti penganjuran aktiviti di dewan MPKK, penyediaan kemudahan futsal untuk golongan belia serta perancangan projek pengindahan kawasan sungai yang dijangka siap menjelang tahun 2027.