Klinik Desa Teluk Kumbar terima sumbangan mesin ultrasound

Admin
whatsapp image 2024 04 19 at 12.09.42 8fcb8ee7

TELUK KUMBAR – Klinik Desa Teluk Kumbar menerima sumbangan mesin ultrasound bernilai kira-kira RM80,000 yang disumbangkan oleh Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Cik.

azrul mahathir aziz
AZRUL Mahathir Aziz.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Dato’ Azrul Mahathir Aziz berkata bahawa sumbangan tersebut mampu meningkatkan lagi perkhidmatan kesihatan di Klinik Desa berkenaan terutamanya bagi rawatan ibu mengandung.

“Dato’ Muhammad Bakhtiar telah menunjukkan komitmen yang besar dengan menyumbangkan mesin ultrasound ini kepada Klinik Desa Teluk Kumbar yang menjadi tonggak penting bagi peningkatan perkhidmatan kesihatan di sini.

“Kami berterima kasih kepada beliau kerana menyokong keperluan kesihatan komuniti setempat melalui menyediakan fasiliti moden ini,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika mengadakan lawatan ke klinik berkenaan di sini baru-baru ini.

Turut hadir, wakil Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) setempat serta beberapa wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

whatsapp image 2024 04 19 at 12.09.44 0a3165c2
Azrul Mahathir Aziz ketika berkunjung ke Klinik Desa Teluk Kumbar baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Nur Izaa Mohamad mengakui bahawa penggunaan mesin ultrasound yang baharu dapat memberikan impak yang besar kepada pesakit berbanding sebelum ini.

“Mesin ultrasound baharu ini jauh lebih baik serta memberikan keselesaan kepada pesakit selain gambar yang dihasilkan juga lebih jelas sekali gus dapat membantu memudahkan diagnosis dan rawatan.

“Sebelum ini, ramai pesakit memberitahu bahawa mesin ultrasound yang lama agak tidak selesa dipakai dan gambar yang ditunjukkan agak kurang jelas dan susah untuk dilihat.

“Mesin ini juga bukan sahaja digunakan oleh ibu-ibu mengandung tetapi turut digunakan oleh pesakit lain seperti sakit puan dan seangkatan dengannya,” ujarnya.

Difahamkan, mesin ultrasound set lengkap yang didatangkan dari Republik Rakyat China itu turut dilengkapi dengan teknologi terkini dari German.

 

Teks & Gambar : NURUL HAWA FARAHIN HAMEDDY