KM cadang dinamakan Lapangan Terbang Antarabangsa P. Ramlee

GEORGE TOWN – Demi mengenang jasa seniman terunggul negara, Allayarham Tan Sri P. Ramlee, Ketua Menteri mencadangkan pada kerajaan persekutuan supaya menamakan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTABPP) sebagai Lapangan Antarabangsa Pulau Pinang P. Ramlee.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng turut menggalakkan supaya kerja-kerja pembesaran LTABPP dijalankan dengan baik dan elok secara bertaraf antarabangsa.

“Masih ada ramai yang tidak tahu bahawa P. Ramlee berasal dari Pulau Pinang dan bahawa keadaan masyarakat majmuk serta terbuka ketika itu telah menggalakkan pembentukan bakat bagi membolehkan P. Ramlee merealisasikan potensinya sebagai seniman, pelakon, pemuzik dan penyanyi yang paling cemerlang dalam sejarah Malaysia.

“P. Ramlee pernah dipilih pelakon terbaik Asia. Memandangkan beliau dikenali umum di peringkat antarabangsa, adalah wajar namanya terukir di peringkat antarabangsa seperti lapangan terbang yangberhubung kait dengan pentas dunia,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Mengulas berhubung kerja pembesaran LTABPP, beliau menyatakan bahawa, keadaan kerja semasa membesarkan lapangan terbang antarabangsa sebanyak RM 250 juta di bahagian luar atau dalam adalah agak kurang memuaskan dengan kebocoron air hujan, kualiti kerja kurang baik dalam banyak aspek, kelambatan siap kerja serta pengurusan kerja yang mengganggu penumpang-penumpang.

“Terlalu banyak aduan diterima bukan sahaja daripada penumpang, tetapi juga pekerja-pekerja dalam lapangan terbang tersebut.

“Adalah diharapkan pihak berkuasa kerajaan persekutuan boleh menjalankan semakan setiap minggu untuk mengenalpasti masalah yang timbul agar ia tidak ditutup begitu sahaja. Kebimbangan semua pihak adalah bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang P. Ramlee ini akan menjadi suatu lapangan terbang bermasalah sebaik ia siap kelak,’’ ujar beliau.