KM gesa Pusat pastikan kerja selenggara Jambatan Pulau Pinang tak jejas aliran trafik

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menggesa Kerajaan Persekutuan segera mengambil langkah wajar bagi melancarkan aliran trafik di negeri ini sepanjang tempoh kerja-kerja penyelenggaraan struktur fizikal Jambatan Pulau Pinang sehingga 21 Ogos tahun depan.

“Trafik sesak bukan sahaja atas jambatan, tapi kesesakan melimpah sampai ke jalan raya pun turut sesak.

“Kita harap Kerajaan Persekutuan ambil langkah-langkah untuk mengurangkan kesesakan ini,” serunya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, lambakan kenderaan yang berlipat-kali ganda di negeri ini sebenarnya sebelum kerja-kerja penyelenggaraan jambatan tersebut lagi.

Jelasnya, kesesakan trafik yang begitu teruk patut mendorong Kerajaan Pusat meluluskan permohonan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan untuk membina terowong bawah dasar laut dari kawasan pulau ke (kawasan) Seberang Perai.

“Kalau ada satu terowong bawah dasar laut untuk menghubungkan Persiaran Gurney (di bahagian pulau) dan Bagan Ajam (di Seberang Perai Utara), betapa baiknya apabila jambatan pertama ada ‘masalah’, kita ada pilihan lain,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Justeru, Guan Eng menasihatkan pengguna jalan raya terutama dari kawasan selatan pulau supaya memaksimumkan kegunaan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (jambatan kedua Pulau Pinang), demi mengurangkan aliran trafik sesak pada waktu puncak di Jambatan Pertama Pulau Pinang.