MBOR rekod tanam 3,002 ‘Sakura Malaysia’ serentak

SEBERANG JAYA – Penanaman 3,002 batang ‘Sakura Malaysia’ di 13 lokasi sekitar Seberang Perai direkodkan sebagai acara penanaman bilangan pokok renek terbanyak negara, dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Jurnalis Penyelidik MBOR, Muhammad Shukri Hairon Nahar mengesahkan rekod tersebut barubaru ini di kawasan kolam tadahan bersebelahan Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di sini.

Sebelum itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap program diilhamkan Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud itu akan melonjakkan lagi nama negeri terutama Seberang Perai sebagai antara kawasan hijau negara kelak.

“Pokok Tecoma disebut sebagai ‘Sakura Malaysia’, yang mana bunga akan keluar secara berwarna-warni.

“Sekali lagi kita memecahkan rekod (MBOR), ke arah menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri hijau,” jelasnya ketika merasmikan Program Penanaman Pokok Tecoma Terbesar di tanah lapang kolam tadahan, bersebelahan Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Seberang Jaya di sini.

Manakala, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow pula merakamkan penghargaan kepada semua penaja yang menyumbang kira-kira 5,280 pokok, sungguhpun MPSP mensasarkan 3,000 batang pokok sahaja pada program kali ini.

Selain di sini, Rozali memberitahu, 13 lokasi lain yang turut menyertai program penanaman pokok Tecoma secara serentak pada hari berkenaan adalah di Taman Bagan (Jalan Bagan 45), Taman Riang, Taman Perda Indah, Jalan Sungai Lokan, Rezab Jalan Bulatan Bukit Tengah, Rezab Parit Monsun bersebelahan Masjid Bandar Perda, Taman Tunku (belakang Kompleks Sony), Autocity, Taman
Rekreasi Valdor, Taman Belatuk/Taman Bersatu, Taman Seri Bayu dan Bandar Tasek Mutiara (Lorong 12 SS/2 dan Lorong 3 SS/3).

“Program pada pagi ini dianjurkan secara 4P’s atau ‘Public, Private, People, Partnership’…kita sasar menanam 3,000 pokok secara serentak sempena menyambut Bulan Kemerdekaan di peringkat MPSP juga.

“Program ini adalah merupakan salah satu program di bawah Keutamaan Yang Di-Pertua (MPSP) bagi mencapai sasaran Bandaraya Rendah Karbon menjelang 2022,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada komuniti dan penaja.