Taman Botani Pulau Pinang sebagai yang terbaik!

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Ahli botani terkenal negara, Prof. Dr. Saw Leng Guan yang dilantik sebagai kurator Taman Botani Pulau Pinang baru-baru ini diharap dapat membantu memulihara semula Taman Botani tertua di Asia Tenggara di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap pengalaman Leng Guan yang pernah memenangi pingat Royal Botanic Garden Edinburgh (RGBE) dapat membantu rancangan Kerajaan Negeri memulihara semula Taman Botani yang ditubuhkan pada 1884, dan kini disenaraikan sebagai Tapak Warisan Semulajadi UNESCO oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Taman Botani Pulau Pinang merupakan (taman botani) yang pertama ditubuhkan di Asia Tenggara, bahkan ia lebih tua daripada
taman botani di Singapura.

“Sejak 20 tahun lalu, taman botani ini (Pulau Pinang) telah melalui banyak perubahan.

“Kerajaan Negeri cuba untuk memulihkannya sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2008. Namun, kita sedar mencari orang yang benar-benar sesuai dengan alam sekitar adalah sukar… walaupun sebelum ini Taman Botani Pulau Pinang mempunyai tiga pakar dari luar negara.

“Justeru, Kerajaan Negeri berpendapat Taman Botani memerlukan seorang rakyat tempatan yang benar-benar boleh meletakkan komitmen dan dikekalkan dalam jangka waktu panjang,” ujarnya selepas mengetuai sesi lawatan ke sini baru-baru ini.

Selain Leng Guan, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri dan Ketua-ketua Jabatan turut sertai lawatan tersebut.

Mengulas lanjut, Guan Eng menyatakan bahawa untuk mengembalikan semula kegemilangan Taman Botani, kepakaran dan sumber manusia adalah elemen penting serta berperanan sewajarnya.

“Dengan dua elemen ini, pengunjung dapat menghargai dan memahami kepelbagaian flora dan fauna di Pulau Pinang.

“Kita (Pulau Pinang) memiliki salah satu daripada flora dan fauna kaya di dunia yang terletak di tengah-tengah iklim tropika
dengan dikelilingi bukit-bukau dan laut. Ini adalah gabungan yang sangat unik.

“Pulau Pinang bukan sahaja mahu dikenali sebagai lokasi makanan terbaik, tapak warisan dunia, bukit-bukau dan laut, malah juga Taman Botani terbaik,” kata beliau.