Segera beli rumah sebelum GST 2015 – Jagdeep

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

 GEORGE TOWN – Rakyat Pulau Pinang dinasihatkan supaya segera membeli rumah mampu milik untuk kegunaan sebenar, sebelum pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sehingga kadar enam peratus yang dijangka bermula pada tahun 2015 nanti.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, mereka yang berminat turut boleh memohon pembelian 104 unit rumah kos rendah jenis ‘town house’ di Taman Sungai Duri dekat Seberang Perai Selatan (SPS) berharga RM38,000, dengan pinjaman tanpa riba 30 peratus daripada Kerajaan Negeri.

Berdasarkan Bajet 2014 Pulau Pinang, jelas beliau, Kerajaan Negeri turut menawarkan skim sewa beli 51 unit rumah pangsapuri Taman Seruling Emas dekat SPS pada kadar bulanan RM100, tidak termasuk RM20 kos penyelenggaraan.

“Bagaimanapun, kita mesti tidak menjadi mangsa pada kemajuan (pembangunan hartanah) ini, dan dalam hal ini, Kerajaan Negeri telah membuat persediaan dengan menjadikan perumahan mampu milik sebagai keutamaan,” ujarnya baru-baru ini di sini.

Jagdeep berkata demikian pada majlis perasmian Ekspo Hartanah Antarabangsa Pulau Pinang (PIP 2013).

Ahli Jawatankuasa Pusat FIABCI Malaysia, Michael Geh antara dif yang hadir pada ekspo tersebut.

Lebih 40 pemaju menyertai ekspo tersebut.

Sebelum itu, Pengerusi Penganjur PIP, Ong Ban Seang menjelaskan mengenai kesan Bajet 2014 terhadap masa depan hartanah di negeri berkenaan.

Menurut beliau, banyak bahan-bahan pembinaan dan perkhidmatan seperti yuran arkitek, pendawaian elektrik dan caj paip boleh terakru kadar enam peratus di bawah GST.

“Pemaju tidak akan menyerap (kos GST yang berkaitan), sebaliknya, (kos ini mungkin) akan dipindahkan kepada pembeli,” nyata beliau.