Pelan induk pembangunan Daerah Barat Daya, realisasi potensi boleh dimajukan demi kesejahteraan rakyat setempat

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

PULAU BETONG – Kerajaan Negeri bakal memastikan pembangunan di setiap daerah adalah sampai ke akar umbi dan membolehkan rakyat menikmatinya, ujar Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Kon Yeow berkata, untuk tujuan tersebut beliau mencadangkan agar satu pelan induk khusus bagi setiap daerah dirangka  terutamanya Daerah Barat Daya (DBD).

Menurut beliau, Kerajaan Negeri sememangnya tidak mempunyai pelan induk khusus untuk DBD sepanjang 10 tahun lalu yang dilihat agak terpinggir.

“Mungkin sudah sampai masanya, Kerajaan Negeri bersama-sama pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) bertanggungjawab, Pejabat Daerah dan Tanah DBD serta semua agensi memulakan satu pelan induk pembangunan di sini (DBD).

“Dengan adanya pelan ini, maka kita dapat memfokuskan kepada kekuatan dan kekurangan serta kelebihan yang ada di daerah ini.

“Melalui cara ini sahaja, kita dapat realisasikan potensi Barat Daya yang boleh dimajukan lagi demi kesejahteraan rakyat setempat,” ujarnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong bersempena sesi
lawatan khas ke Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya dekat Balik Pulau di sini 21 Jun lalu.

Sesi lawatan yang berlangsung hampir tiga jam itu turut disertai ADUN Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain, Mohd. Tuah Ismail (ADUN Pulau Betong), Azrul Mahathir Aziz (ADUN Bayan Lepas), Zolkifly Md. Lazim (ADUN Teluk Bahang), Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Ahli Parlimen Balik Pulau), Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru) dan Pegawai Daerah, Zepri Saad.

Turut diketengahkan adalah permasalahan serta cadangan yang diutarakan wakil-wakil ADUN dan agensi-agensi Kerajaan  Persekutuan serta Negeri.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa beliau akan mengambil tindakan susulan di peringkat negeri dengan mengutarakan cadangan berkaitan ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk dibincang dan diteliti.

“Bukan itu sahaja, Kerajaan Negeri juga merancang satu pelan pembangunan negeri untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang dapat dilaksanakan.

“Pemimpin dan pentadbir boleh datang dan pergi, tapi dengan adanya pelan-pelan ini, ia akan menjadi platform yang lebih kukuh sebagai rujukan untuk membawa Pulau Pinang ke arah sebuah negeri yang lebih maju pada masa hadapan,” jelasnya.