Lelaki perlu bangga, sokong keupayaan wanita

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

BAYAN LEPAS – Kaum lelaki tidak seharusnya berasa tercabar apabila wanita ingin seiringan bersama, sebaliknya, mereka (kaum lelaki) perlu memberi sokongan dan bangga dengan keupayaan wanita yang mampu melaksanakan pelbagai tugasan dengan sempurna.

Amanat tersebut diucapkan isteri kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Betty Chew Gek Cheng ketika hadir merasmikan program Women @ OSRAM: Gender Awareness yang julung kali dianjurkan syarikat gergasi pengeluar cip elektronik, OSRAM Opto Semiconductor (OSRAM) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Kata beliau, wanita berkerjaya unik dan mempunyai personaliti anggun. Malah, kaum Hawa berkerjaya juga mempunyai ketegasan dan keterbukaan dalam melontarkan pandangan terutama dalam hal-hal yang memerlukan ‘sentuhan lembut’ seorang wanita.

“Saya pasti, anda semua merupakan seorang ibu yang penyayang, seorang isteri yang patuh serta taat dan seorang wanita berkerjaya yang berjaya serta berdedikasi.

“Tahniah kepada anda kerana telah menjadi inspirasi kepada wanita-wanita lain di luar sana untuk bangkit sama-sama memperjuangkan kesaksamaan gender terutama di tempat kerja,” ucap beliau barubaru ini.

Program pelancaran Women @ OSRAM: Gender Awareness yang menyediakan platform kepada pekerja wanita untuk berkongsi pengalaman dalam meningkatkan kesedaran tentang peranan kaum Hawa dalam industri pembuatan turut diserikan dengan penampilan istimewa artis, Tengku Aidil yang mendendangkan dua buah lagu secara langsung.

Betty yang turut berkongsi pengalaman sebagai seorang ibu kepada empat cahaya mata, seorang isteri kepada Ketua Menteri, seorang peguam dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyatakan bahawa bukan mudah melaksanakan semua tanggungjawab tersebut tanpa sokongan dan dorongan suami.

“Suami perlulah menyokong isteri yang berkerja, perlu membantu dalam hal-hal berkaitan keluarga dan perlu menjadi ‘multitasker’ supaya isteri mereka dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sempurna dan penuh senyuman,” ujar Betty.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru golongan wanita untuk saling berkerjasama dan berkongsi pengalaman serta membantu dalam meningkatkan jati diri serta mandiri kerana menurutnya, ia mampu menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi yang pesat dan berdaya saing.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Urusan OSRAM Pulau Pinang, Dr. Ronald Mueller, OSRAM sentiasa memastikan hak pekerja wanita mereka terjamin.

“Misalnya dengan pembinaan lantai (production floor) yang selamat untuk wanita hamil dan cuti bersalin 90 hari ditawarkan kepada kira kira 3,200 pekerja wanita di sini iaitu 68 peratus daripada 4,700 pekerja keseluruhannya,’’ katanya.

 

bettyosram
BETTY Chew Gek Cheng (kiri) beramah mesra bersama-sama sebahagian pekerja
wanita yang hadir menjayakan program Women @ OSRAM: Gender Awareness di
sini baru-baru ini.