Projek pelebaran jalan kurang 20 peratus trafik sesak Jalan Masjid Negeri, Jalan Scotland

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

AIR ITAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, RM7.8 juta projek pelebaran sebahagian Jalan Masjid Negeri dan Jalan Scotland yang siap dibina bakal mengurangkan 20 peratus kesesakan trafik di sini.

“Ini adalah projek (Pakej 5B) yang menelan belanja RM7.8 juta daripada RM45.8 juta (kos keseluruhan projek-projek cadangan) yang telahpun siap.

“Projek (Pakej 5B) ini sangat penting kerana ia akan mengurangkan kesesakan trafik 20 peratus, mungkin dianggap tidak banyak (impaknya).

“Tapi, daripada segi kejuruteraan, kalau boleh mengurangkan kesesakan sampai 20 peratus, ini sangat besar kerana maksimum yang anda boleh kurangkan (kesesakan trafik) adalah 25 peratus,” ujarnya dalam Majlis Pelancaran Projek Pelebaran Sebahagian Jalan Masjid Negeri dan Jalan Scotland (Pakej 5B) di sini 9 Februari lalu.

Turut berucap, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota serta ADUN Air Itam, Wong Hon Wai.

Difahamkan, setiap hari kira-kira 66,000 kenderaan melalui Jalan Masjid Negeri dan Jalan Scotland.