KN, MBPP dan pihak swasta bakal kolaborasi bangun Pusat Transit Gelandangan berkonsepkan Three Net Zero

GEORGE TOWN – Nasib golongan gelandangan di negeri ini akan mendapat pembelaan apabila Kerajaan Negeri dengan kolaborasi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan sektor swasta bakal membangunkan sebuah Pusat Transit Gelandangan dekat Jalan C.Y. Choy, di sini.

Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, pusat transit berkenaan akan dibangunkan di atas sebuah tapak milikan MBPP berkeluasan 3,300 kaki persegi (kp) dan kosnya akan dibiayai pihak Kerajaan Negeri.

“Pusat ini telah pun mempunyai cadangan reka bentuk, diharap dengan kolaborasi di antara Kerajaan Negeri, MBPP dan pihak swasta projek ini dapat disiapkan dengan secepat mungkin.

“Secara tidak langsung, ia dapat menangani isu-isu gelandangan di bandar raya ini,” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) di sini pagi ini.

Hadir sama Setiausaha Bandaraya, Ir. Addnan Mohd. Razali, Ahli-ahli Majlis serta Ketua-ketua Jabatan MBPP.

Menurut Tung Seang, lebih istimewa Pusat Transit Gelandangan ini juga bakal menjadi projek rintis pertama di Pulau Pinang dan mungkin juga di dalam negara yang menggunakan pendekatan Three Net Zero (NZ3) iaitu sifar tenaga, sifar air dan sifar sisa.

“Ke arah sebuah bandar raya rendah karbon, sememangnya semua projek pembangunan di bawah Majlis perlu dinilai dengan GBI (Indeks Bangunan Hijau), tapi projek ini merupakan yang pertama menggunakan pendekatan NZ3.

“Majlis mengambil cabaran untuk melaksanakan NZ3 ini walaupun hakikatnya bukan mudah untuk dicapai, dan sekiranya kita berjaya… ia adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia.

“Walau bagaimanapun, untuk memastikan projek ini berjaya, kita (MBPP) akan berbincang dengan lebih lanjut bersama-sama konsultan bagaimanakah  NZ3 ini boleh direalisasikan dan YB Phee (Boon Poh) iaitu Exco Kebajikan mengenai isu gelandangan ini,” jelasnya.

Konsep net zero adalah menggunakan bekalan tenaga yang boleh diperbaharui (RES) iaitu menggunakan tenaga sebanyak mana yang dihasilkan sahaja, mencapai keseimbangan mapan antara ketersediaan dan permintaan air serta menghapuskan sisa pepejal dari dihantar ke tapak pelupusan.